Sebenarnya sudah lama Datuk Nora Ariffin berhadapan dengan kemelut melibatkan keluarga suaminya iaitu Dr. Rushdi Ramli sehingga perkara itu telah menjejaskan nama baiknya sebagai seorang penyanyi.
Enggan berdalih mengenai masalah yang berlaku, Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, akhirnya tampil dengan satu kenyataan yang diedarkan kepada pihak media bagi membersihkan nama baiknya.
Nora mendakwa usaha untuk berbaik dan berdamai dengan madunya serta ahli keluarga tidak berhasil walaupun ia diuruskan oleh Dr. Rushdi sendiri sebaliknya ia bertambah parah apabila anak perempuan Dr. Rushdi iaitu Alia menjadikan media sosial mendedahkan rasa tidak puas hati.
Berikut adalah kenyataan penuh dikeluarkan Nora kepada pihak media pada Rabu.
Untuk makluman dan rekod semua, di atas perkara yang terjadi pihak saya termasuk Dr. Rushdi telah berusaha dalam pelbagai cara untuk berbaik dan berdamai dengan pihak isteri pertama dan keluarga isteri pertama serta ingin menyelesaikan kemelut yang berbangkit di mana antara lainnya Dr. Rushdi telah memberikan nasihat, teguran dan beberapa kali cuba mengaturkan pertemuan antara pihak saya, Dr Rushdi, Puan Rose dan Alia (anak perempuan Dr. Rushdi dan Puan Rose).
Pada 02.12.2024, melalui surat bertarikh 02.12.2024, pihak Dr. Rushdi dan saya telah menyerahkan surat bertarikh 02.12.2024 kepada Alia bagi jemputan untuk Mediasi.
Mediasi tersebut ditetapkan untuk menyelesaikan apa-apa masalah, dengan cara terhormat. Namun Alia tidak hadir dan tidak mengendahkan mediasi yang ditetapkan.
Pada masa material juga, sejak tahun 2019 pelbagai pernyataan telah dimuat naik oleh Alia di media sosial berkenaan saya yang mana telah benar-benar menjatuhkan reputasi saya dan membangkitkan kebencian masyarakat terhadap saya.
Untuk makluman, terdapat pernyataan-pernyataan yang diterbitkan oleh Alia dimuat naik sebelum konsert saya “Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)” yang ditetapkan pada 18.12.2024. Kesannya ia telah menjejaskan promosi konsert tersebut dan penjualan tiket konsert tersebut.
Lanjutan itu, saya telah menerima pelbagai tohmahan tidak berasas dan kebencian yang melampau daripada masyarakat terhadap saya yang mana menjejaskan reputasi dan kerjaya saya sebagai sebagai penyanyi yang sudah berkecimpung dalam industri ini semenjak tahun 1991 lagi.
Pada 04.02.2024, satu Notis Tuntutan telah diserahkan kepada Alia melalui peguamcara saya Tetuan Sarah Ali & Co yang menuntut antara lainnya untuk Alia seperti berikut:-
a) Berhenti menyebarkan sebarang kenyataan fitnah atau memudaratkan serta-merta di mana-mana tapak web, media sosial atau platform lain termasuk tetapi tidak terhad kepada Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Blogspot.
b) Alih keluar sebarang kandungan berunsur fitnah yang telah disiarkan atau kongsi daripada semua laman web, media sosial dan platform yang anda kawal.
c) Berjanji secara bertulis bahawa pihak Alia tidak akan membuat, menerbitkan, atau menyebarkan sebarang kenyataan fitnah tentang saya lagi di mana-mana platform, termasuk yang dinyatakan di atas.
d) Hantarkan draf permohonan maaf awam kepada peguamcara saya dalam masa 48 jam untuk semakan kami.
Setelah diluluskan, mesti menerbitkan permohonan maaf ini di tapak web dan platform media sosial anda selama sebulan.
e) Kompensasi
Hanya pada 21.02.2025, Alia membalas Notis Tuntutan bertarikh 04.02.2025 tersebut dengan hanya mahu menurunkan pernyataan-pernyataan yang telah dibuat di media sosial yang telah mendapat tontonan umum atas permintaan bapanya Dr. Rushdi semata-mata dan memohon untuk mengadakan perjumpaan Bersama saya. Tiada permohonan maaf disampaikan dan pembayaran kompensasi dilaksanakan oleh pihak Alia.
Balasan Alia amat menyedihkan berikutan saya telah lama mengalami banyak mudarat yang melampau dan kerugian akibat pernyataan-pernyataan yang diterbitkan oleh Alia tersebut.
Namun begitu, saya pada 24.02.2025, saya merendahkan diri memohon maaf secara terbuka demi untuk berdamai dan berbaik dengan Puan Rose dan Alia.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|