KAKAK kepada pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut di Senawang, Negeri Sembilan tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia atas kenyataan yang dibuat berhubung insiden itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, wanita dikenali sebagai Nur Athirah Najwa itu mengakui kesilapannya dalam mengeluarkan komen yang menimbulkan kemarahan orang ramai.
“Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku yang terlibat dalam kemalangan di Senawang.
“Saya ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas posting dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah.
“Saya sedar saya telah muat naik posting dan komen tersebut dalam keadaan yang emosi. Saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila Nur Athirah memuat naik beberapa kenyataan yang seolah-olah mempertahankan adiknya susulan insiden berkenaan.
Tindakannya itu mencetuskan kemarahan netizen yang mengecam pemandu Honda Jazz terbabit kerana memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa dua individu.
Pada Khamis lalu, satu kemalangan jalan raya berlaku di persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Persiaran Senawang 1.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam itu, empat individu cedera parah termasuk dua beradik lelaki.
Dua mangsa yang menaiki motosikal Modenas Kriss, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Susulan kejadian itu, polis mengesahkan pemandu kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, sehingga mengakibatkan kemalangan maut membabitkan dua remaja, tidak mempunyai lesen memandu.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|