Bekas penyampai radio, Maskiran Jakiran, 49, atau Kieran yang disahkan menghidap kanser testis tahap tiga memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik ketika ini.
Kieran ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatannya semakin baik selepas menjalani pembedahan membuang lebihan cairan di bahagian testis yang membengkak pada 3 Februari lalu.
"Alhamdulillah, saya juga sudah boleh keluar rumah dan memandu kereta tetapi hanya kawasan dekat rumah saja," katanya.
Menurut Kieran, keadaan luka pembedahan juga sudah sembuh selepas lima minggu.
"Tapi, saya masih berasa sakit di bahagian dalaman dan anggota badan pun ada yang bengkak dan kebas.
"Saya juga dijadualkan untuk bertemu doktor untuk rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur pada 20 Mac ini," katanya.
Kieran berkata, dia juga sudah menjalani pusingan kemoterapi sebanyak empat kali.
"Selepas buat kemoterapi, badan saya bengkak-bengkak dan lemah sangat. Sakit sana sini itu perkara biasa. Urat-urat di tangan pun macam sudah mati.
"Namun, saya bersyukur kerana taklah teruk sangat kerana saya masih mampu duduk, baring dan bangun sendiri.
"Saya tiada masalah untuk makan dan tambah berat badan kerana sebelum kemoterapi, saya turun sebanyak 21 kilogram," katanya.
Selain itu, Kieran juga sangat bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa seperti biasa tahun ini.
"Saya tiada buat aktiviti ketika Ramadan dan hanya berehat di rumah kerana masih dalam proses pemulihan. Doktor beritahu ia ambil masa sekurang-kurangnya enam minggu.
"Saya juga masih belum mampu untuk bekerja kerana tangan masih sakit dan badan masih tidak kuat. Kalau sudah duduk, nak bangun kaki sakit dan kalau berdiri lama sikit ada rasa nak pitam pula.
"Seperti Ramadan, tahun sebelumnya, saya memang berbuka puasa di rumah saja dengan keluarga. Tahun ini, saya memang tidak bekerja dan memang genap sebulan dapat berbuka puasa dengan keluarga," katanya.
Mengenai persiapan Aidilfitri, Kieran berkata, dia hanya buat persiapan ala kadar saja bersama keluarga.
"Lagipun, saya sudah hampir lapan bulan tidak bekerja dan kena berjimat sebab pada masa akan datang kita tidak tahu macam mana," katanya.
Sumber : Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|