"Saya memang tak nak banyak sangat 'shooting' (penggambaran) ketika Ramadan kerana kita nak buat lebih banyak amal ibadat. Malah, saya pula memang menunggu bulan puasa setiap tahun. "Alhamdulillah, saya sangat seronok dan teruja setiap kali tiba Ramadan sebab ketika inilah boleh berkumpul dengan seluruh ahli keluarga, dapat bersahur dan berbuka. "Kemudian, di bulan puasa ini juga kita dapat buat solat Tarawih dan kurangkan aktiviti 'shooting' sebab, dalam setahun bekerja itu, memang bulan puasa saja saya kurang 'shooting'. Kalau tidak, jadual saya sangat padat," katanya. Menurut Nadia, untuk projek lakonannya dia baru saja selesai penggambaran filem Pukau arahan Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen bersama barisan pelakon seperti Datuk Yusry Abdul Halim, Diana Danielle, Fikry Ibrahim dan Mustaqim Bahadon. Nadia berkata, dia sebenarnya berhasrat agar dapat mengerjakan solat Tarawih penuh pada Ramadan kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. "Saya teringin nak buat lebih banyak solat Tarawih pada tahun ini. Harap ibadah solat Tarawih itu lebih banyak dapat saya buat tahun kali ini berbanding tahun sebelumnya. Sebab, tahun lalu saya agak banyak tertinggal. "Memang terasa rugi sangat. Jadi, Ramadan kali ini saya tekad memang hadkan kerja untuk dapat buat solat Tarawih lebih banyak," katanya. Nadia berkata, dia turut merancang solat Tarawih di masjid yang berbeza pada setiap malam, selain mahu melaksanakan hasratnya untuk berbuka puasa di masjid yang dikunjungi itu. Nadia berkata, dia juga pada tahun ini kurang membeli juadah berbuka di bazar Ramadan kerana meluangkan juga masa memasak sendiri di rumah berikutan menjaga pengambilan makanan hariannya. |
ADVERTISEMENT