CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Gaya Hidup Lihat artikel

Awas serangan jantung, punca kematian mengejut

25-1-2026 10:15 AM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 35246| Komen: 4

 


KEMATIAN mengejut sangat menakutkan dan punca utama keadaan ini disebabkan oleh serangan jantung yang datang secara tiba-tiba. Hati-hati, penyakit ini boleh membunuh dalam senyap.

Sebenarnya, sesiapa sahaja berisiko mendapat serangan jantung meskipun menjalani gaya hidup aktif.

Lebih menyeramkan, penyakit ini banyak menyebabkan kematian dalam tidur.

Trend penyakit ini juga sudah berubah. Jika dahulu ia banyak dialami oleh orang berusia 60 tahun ke atas, sejak lima tahun kebelakangan ini semakin ramai orang muda mendapat serangan jantung.

Menurut Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr. Richard Chan Tze Ming, serangan jantung berlaku apabila saluran darah dalam jantung atau koronari tersumbat 100 peratus.

“Saluran darah yang tersumbat akan menyebabkan darah tidak cukup untuk sampai ke otot jantung.

“Kesannya, jantung akan menjadi lemah dan mengeluarkan sejenis ritma yang berbahaya sehingga menyebabkan jantung berhenti dengan tiba-tiba,” katanya ketika ditemui Relevan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway baru-baru ini.

PENYUMBATAN SALURAN DARAH

Antara faktor utama berlakunya saluran darah tersumbat dalam jantung adalah seperti penyakit diabetes, kolesterol tinggi, darah tinggi, obesiti dan sejarah keluarga yang juga mengalami masalah penyumbatan di jantung.

Di samping faktor tersebut, ada juga kes tertentu penyumbatan jantung terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang disebabkan oleh sejenis virus dikenali sebagai penyakit Kawasaki.

Virus tersebut akan membuatkan saluran darah dalam jantung bengkak dan seterusnya menyebabkan penyumbatan dalam jantung.

Dr. Richard berkata, serangan jantung kini biasanya terjadi kepada mereka yang berusia 30 tahun ke atas.

“Walaupun begitu, saya pernah merawat pesakit paling muda yang berusia 24 tahun.

“Pesakit tersebut merokok sejak usia 12 tahun dan menghabiskan lebih satu pek rokok sehari. Ditambah dengan sejarah keluarga, ia meningkatkan risiko mendapat serangan jantung,” kongsinya.

Mengulas mengenai perbezaan antara serangan jantung dan lemah jantung (heart failure), Dr. Richard berkata, kedua-dua keadaan ini sangat berbeza dan ramai masih keliru.

Jelasnya, serangan jantung berlaku apabila terjadinya penyumbatan di saluran darah dalam jantung yang disebabkan oleh faktor-faktor yang disebutkan di atas.

Penyakit lemah jantung pula merupakan satu kondisi yang mana jantung gagal untuk mengepam darah beroksigen secukupnya kepada organ-organ penting di dalam badan.

“Lemah jantung tidak menyebabkan berlakunya serangan jantung tetapi ia adalah salah satu komplikasi daripada serangan jantung.

“Pun begitu, tidak semua pesakit lemah jantung pernah mengalami serangan jantung,” ujarnya.

 

KEMATIAN MENGEJUT

Bercerita lanjut mengenai serangan jantung, Dr. Richard berkata, kematian mengejut paling digeruni kerana ramai pesakit tidak sedar mereka mengalami masalah penyumbatan di jantung.

“Penyumbatan di peringkat awal tidak menunjukkan simptom-simptom besar seperti dada berasa sangat sakit dan berpeluh dengan banyak walaupun tidak melakukan pekerjaan berat.

“Oleh kerana rasa sakit yang sedikit, pesakit mengabaikan simptom tersebut sehinggalah penyumbatan itu terjadi 100 peratus dan serangan jantung berlaku dengan tiba-tiba,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit diabetes, kolesterol tinggi, darah tinggi dan obesiti.

Mereka yang mempunyai penyakit-penyakit di atas dan ada sejarah keluarga adalah disarankan untuk membuat pemeriksaan kesihatan jantung sebaik-baiknya dua kali dalam setahun.

Dr. Richard berkata, pesakit yang mengalami serangan jantung akan pitam dan rebah ke lantai. Orang berdekatan perlu memeriksa nadi pesakit.

Sekiranya tidak dapat merasakan pergerakan nadi, ini bermakna jantung sudah berhenti.  Bertindak segera dengan menghubungi talian 999 dan ceritakan dengan jelas situasi tersebut kepada responden kecemasan.

Ikut arahan mereka dengan tenang sementara menunggu ambulans sampai.

RAWATAN KECEMASAN 

“Kalau ada yang tahu rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR), terus lakukannya sehingga ambulans sampai.

“Sebenarnya penting untuk kita mempelajari cara melakukan CPR. Keadaan kecemasan sebegini boleh berlaku di mana[1]mana dan pada bila-bila masa sahaja.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk menerapkan pembelajaran CPR dalam silibus pendidikan di Malaysia supaya pelajar dapat mempelajarinya sejak dari sekolah rendah,” katanya.

Terang Dr. Richard, jika lebih ramai orang tahu cara untuk melakukan CPR, besar kemungkinan kadar kematian akibat serangan jantung akan menurun dengan banyak.

Sebagai pesakit pula, Dr. Richard mengesyorkan untuk menyimpan ubat cair darah seperti aspirin di tempat yang mudah dicapai.

“Aspirin dapat membantu mengurangkan kadar darah yang tersumbat. Apabila ubat ini diambil, ia dapat membantu melancarkan aliran darah dalam jantung.

“Sekiranya berlaku serangan jantung, ambil aspirin dan hubungi 999 dengan segera,” katanya.

Kongsi Dr. Richard, individu yang mendapat serangan jantung akan mengalami komplikasi seperti jantung menjadi lemah.

Apabila jantung lemah, pesakit mungkin mudah berasa penat. Jalan beberapa langkah sahaja akan tercungap-cungap.

Jika sebelum ini pesakit aktif bermain badminton, selepas mendapat serangan jantung mereka tidak lagi boleh aktif bersukan sekurang-kurangnya sebulan. Apa yang pesakit perlu lakukan ialah fokus pada pemulihan.

“Kebiasaannya, pesakit perlu menjalani prosedur angiogram. Dalam prosedur ini, doktor akan memasukkan kateter (tiub yang panjang dan nipis) ke dalam arteri (biasanya di tangan) dan ditujukan ke bahagian jantung sampai ke saluran darah jantung.

“Kemudian, sejenis cecair kontras akan disuntik melalui kateter supaya boleh mengesan kawasan jantung yang tersumbat,” katanya.

Tambah beliau, jika hasil pemeriksaan menunjukkan saluran darah pesakit tersumbat dengan teruk, pesakit perlu menjalani prosedur seterusnya iaitu angioplasti.

Prosedur ini menggunakan belon untuk meregangkan dan membuka arteri yang sempit atau tersumbat. Angioplasti juga dilakukan dengan cara memasukkan tiub dawai pendek yang dipanggil stent ke dalam arteri.

Pesakit perlu memakai stent secara kekal untuk membolehkan darah mengalir dengan lebih lancar.

PEMULIHAN PESAKIT

“Pesakit yang sudah menjalani prosedur tersebut perlu disiplin mengambil ubat untuk jangka masa panjang atau seumur hidup kerana ia dapat membantu mencegah saluran darah tersumbat.

“Lebih-lebih lagi bagi pesakit yang menjalani prosedur angioplasti. Mereka perlu mengambil ubat cair darah setiap hari bagi memastikan pengaliran darah lancar,” katanya.

Di samping itu, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway turut menawarkan program rehabilitasi jantung (cardiac rehabilitation) untuk mengembalikan pesakit kepada tahap kesihatan maksimum seperti sebelum mendapat serangan jantung.

Dalam program tersebut, doktor akan memantau segala aktiviti yang perlu dilakukan oleh pesakit.

Contohnya, berjalan di atas treadmill selama 10 minit sehari dan meningkatkan kelajuannya secara berperingkat mengikut kemampuan pesakit.

Pesakit juga perlu menjalani gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan berhenti merokok.

Sebagai langkah pencegahan, Dr. Richard menggalakkan orang ramai untuk melakukan senaman kecergasan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu serta mengamalkan pemakanan yang lebih sihat.

“Selain itu, penting juga untuk mengawal tekanan kerana kebanyakan orang muda sekarang mudah mendapat serangan jantung disebabkan oleh stres melampau.

“Stres boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit ini boleh meningkatkan risiko mendapat serangan jantung.

“Pastikan juga anda mendapat tidur yang cukup dan berkualiti,” sarannya.

Sementara itu, ada juga salah tanggapan yang mendakwa serangan jantung dalam kalangan orang muda berlaku disebabkan oleh kekerapan melakukan aktiviti kecergasan pada waktu malam kerana waktu tersebut adalah masa untuk merehatkan badan dan jantung.

Menjawab kepada perkara tersebut, Dr. Richard berkata, tidak ada halangan untuk bersukan pada waktu malam asalkan mendapat tidur dan rehat secukupnya selepas melakukan aktiviti tersebut.
 
Sumber - RELEVAN

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Decaffeinated 25-1-2026 03:21 PM
Kematian mengejut ni sebenarnya lebih berat untuk yang ditinggalkan.
Quote PULANGKAN 26-1-2026 01:29 AM
masa zaman iols study dulu, ada kawan pukul 3-4 pagi, ketuk pintu bilik. minta tolong panggilkan ambulans. dia kata dada sakit. kelam-kabut bagai, dengan baju tidur je ke hospital. member kena tahan kat wad, degup jantung tak stabil. diagnosed apentah, nak sebut pun tak reti. masa tu umo kami baru 22-23 tak silap.. nak kata tak aktif, dalam kampus jalan kaki menapak asrama ke kelas, ulang-alik jauh. bilik pulak tingkat atas, naik tangga. memang sihat waktu tu. dia pulak kurus je. tiba2 kena. aneh

ada lagi sorang pulak, rakan sekerja. jenis aktif bersukan, lelaki, badan fit. nampak sihat. satu hari, meninggal mengejut. kawan2 kata, tengah main badminton, rebah, terus meninggal. katanya serangan jantung
Quote sharlenetexas 26-1-2026 05:33 PM


I wanna be young the rest of my life
Never say no, try anything twice
Till the angels come and ask me to fly
I'm gonna be 18 til I die


Quote razali778 26-1-2026 06:02 PM
sharlenetexas replied at 26-1-2026 05:33 PM
I wanna be young the rest of my life
Never say no, try anything twice
Till the angels come and ask ...

heart attack is no joke . should take this seriously.

Lihat semua komen(4)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2026 12:17 AM GMT+8 , Processed in 0.055816 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top