|
Kota Bharu: Kerajaan Kelantan mendapati berlaku pelanggaran syarat dan garis panduan yang ditetapkan ketika persembahan dan tarian penonton konsert di program Makar Fest XL di Tunjung pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, perlanggaran syarat oleh penonton berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup lebih kurang jam 10.30 malam. Katanya, pihak penguatkuasa berjaya mengeluarkan beberapa penonton yang membuat provokasi serta kumpulan penonton yang didapati melanggar garis panduan hiburan, namun keadaan tidak berjaya dikawal oleh penganjur serta masih berulang. "Penganjur didapati cuai/gagal/enggan untuk menghentikan persembahan untuk mengawal keadaan. "Turut dikesan adalah berlakunya percampuran antara pengunjung lelaki dan wanita tanpa ditempatkan petugas keselamatan secukupnya sebagaimana disyaratkan," katanya menerusi kenyataan media hari ini. Beliau berkata, selepas meneliti laporan bertulis daripada Pengarah Bahagian Perlesenan Dan Kawalan Perniagaan dan juga menonton video yang diviralkan, maka Pegawai Pelesen mendapati penganjur melakukan kesalahan mengikut seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025. Katanya, wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 dirampas. "Penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000 dan nama boleh disenarai hitam jika gagal membayar kompaun itu," katanya. Terdahulu, satu video berdurasi 40 saat menunjukkan sekumpulan pengunjung menari sambil melompat-lompat ketika menonton persembahan pentas di program Makar Fest XL. Mengulas lanjut, Hilmi berkata, program berbentuk ekspo jualan dan makanan selama tiga hari bermula 29 sehingga Januari (Khamis hingga Sabtu) bertempat di tapak parkir Mydin Mall Tunjung itu turut diselitkan dengan beberapa persembahan hiburan membabitkan beberapa artis tempatan. Penganjuran festival makanan itu menjadi medium perniagaan kepada usahawan kecil, peniaga tempatan serta penggiat seni dan sebagai titik temu dalam kalangan peminat seni, keluarga dan komuniti berkongsi idea serta membina jenama yang mendapat kelulusan hiburan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, namun penganjur perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 sepanjang ia berlangsung. "Hasil pemantauan sepanjang festival, semua artis jemputan seperti Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara serta artis dikir berjaya mematuhi enakmen dan garis panduan yang ditetapkan. "Kerajaan negeri amat memahami dan meraikan keperluan rakyat untuk berhibur, bahkan amat menyokong sebarang penganjuran program atau festival makanan yang dapat menjana pendapatan kepada peniaga kecil di samping turut mempromosikan Kelantan sebagai lokasi pelancongan bertemakan 'Food, Family, Festival'. "Namun, kerajaan negeri juga amat konsisten dalam memastikan bahawa adab, budaya dan akhlak khususnya generasi muda mesti dijaga dan dipelihara. "Kerajaan negeri akan terus menyokong sebarang penganjuran festival makanan oleh mana-mana penganjur pada masa hadapan dengan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
4-2-2026 06:55 PM GMT+8 , Processed in 0.049282 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.