|
Alor Setar: Kanak-kanak penghidap kanser hati, Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, 3, selamat menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China, 29 Januari lalu.
Pembedahan itu berjaya dilaksanakan selepas dana rawatan berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai. Prosedur berkenaan mengambil masa lebih sembilan jam, bermula pada jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.45 petang. Bapa kanak-kanak berkenaan, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, berkata keseluruhan hati anaknya dibuang dan digantikan dengan 20 peratus hati ibunya, Nor Syatirah Zairenor, 31, Katanya, keadaan isterinya stabil manakala Arash menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan berkenaan. "Limpa Arash juga terpaksa dibuang, ujian darah yang dijalankan menunjukkan keputusan yang baik dan fungsi hati baharu mula bertindak balas dengan positif. "Arash kini dalam keadaan stabil, namun masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Fariz berkata, proses pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi besar membabitkan ibu dan anak, namun kedua-duanya perlu menjalani pemantauan berterusan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik. Katanya, setakat ini isterinya sudah mampu berjalan perlahan-lahan. "Saya nak ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan serta menghulurkan bantuan kewangan hingga dana yang diperlukan mencukupi. "Hanya Allah saja yang mampu membalas kebaikan semua rakyat Malaysia yang memberi sumbangan," katanya. Sebelum ini, media melaporkan Arash disahkan menghidap Langerhans' Cell Histiocytosis (LCH), sejenis kanser jarang berlaku yang menyerang hati sejak awal kelahirannya sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ berkenaan. Keadaan itu menyebabkan Arash perlu menjalani rawatan kemoterapi selama beberapa minggu, namun rawatan dihentikan selepas keadaannya semakin merosot apabila hati dan limpanya terus membesar. Susulan itu, doktor mengesahkan pemindahan hati adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan nyawanya, dengan kos rawatan di Hospital Renji, Shanghai mencecah RM185,000, termasuk pembedahan dan rawatan susulan. Akibat keadaan Arash, Mohamad Fariz Najdi terpaksa berhenti kerja sebagai jurutera bagi memberi sepenuh tumpuan kepada rawatan anaknya, manakala isterinya adalah suri rumah sepenuh masa. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
5-2-2026 02:13 AM GMT+8 , Processed in 0.192260 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.