|
KUALA LUMPUR: Selangor dijangka mengalami pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus bermula bulan ini hingga Julai sekali gus berpotensi berhadapan cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
Ketua Pengarah Meteorologi (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan Tinjauan Cuaca Jangka Panjang Februari hingga Julai 2026, pengurangan hujan itu dijangka paling ketara pada Julai dengan taburan hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 90 hingga 110 milimeter (mm). "Bagi tempoh Februari hingga Jun, taburan hujan di Selangor masih dijangka berada pada paras purata bulanan, namun trend penurunan hujan tetap ketara menjelang Julai. "Jumlah hujan bulanan yang dijangka diterima bagi tempoh tersebut ialah Februari 140 hingga 210 mm; Mac (200 hingga 310 mm); April (240 hingga 350 mm); Mei (170 hingga 250 mm) dan Jun 110 hingga 170 mm)," katanya dalam kenyataan hari ini. Mengulas berkenaan punca cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini, Dr Mohd Hisham berkata keadaan tersebut bukan dipengaruhi oleh fenomena El Nino, sebaliknya berkait dengan fenomena La Nina berintensiti lemah yang melanda dunia sejak November lalu. "Fenomena La Nina dilihat lebih aktif dan memberi kesan cuaca lembap yang signifikan di Indonesia dan Australia berbanding Malaysia. "Akibatnya, negara kita khususnya Semenanjung mengalami keadaan kurang hujan lebih awal daripada kebiasaan," katanya. Beliau berkata, lazimnya cuaca panas dan kurang hujan di Semenanjung hanya bermula pada penghujung musim Monsun Timur Laut sekitar akhir Januari hingga Mac, namun kali ini ia bermula seawal penghujung Disember tahun lalu. Dalam pada itu, Dr Mohd Hisham berkata, MET Malaysia turut mengenal pasti beberapa kawasan berisiko tinggi kebakaran hutan di Selangor, khususnya kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika cuaca panas berterusan. "Kejadian kebakaran hutan kerap direkodkan di Hutan Simpan Raja Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Hutan Simpan Kuala Langat Utara serta kawasan Johan Setia," katanya. Sumber – BH
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
12-2-2026 10:10 AM GMT+8 , Processed in 0.437459 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.