|
Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan supaya topik 'politik moden' merangkumi peristiwa penting seperti pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998 sehingga munculnya gerakan reformasi dimasukkan dalam silibus mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah.
Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, berkata, selain sejarah berkaitan kemerdekaan negara, politik moden juga perlu didedahkan kepada generasi baharu. Justeru itu, beliau mencadangkan beberapa topik yang signifikan dengan landskap politik tanah air untuk dimasukkan dalam silibus baharu mata pelajaran Sejarah di sekolah. "Politik moden kita hari ini juga harus didedahkan kepada generasi baru, misalnya pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemunculan (gerakan) reformasi pada 1998, kemudian himpunan BERSIH yang jadi satu modul bagaimana pilihan raya di negara kita berlaku dalam (situasi) adil dan bersih. "Begitu juga Langkah Sheraton, himpunan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960), dulu ia (dianggap) satu akta yang sangat zalim dan bila diadakan perhimpunan itu, (kemudiannya) ISA dihapuskan di negara kita," katanya. Menjawab cadangan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pembangunan kurikulum baharu bagi subjek Sejarah dibuat melalui proses yang sudah ditetapkan. "Berkenaan cadangan daripada Hulu Langat, pihak kami ambil maklum dan semua perkara berkenaan dengan pelakaran kurikulum sesuatu mata pelajaran itu akan lalui proses sewajarnya. "Ya, ia (peristiwa sejarah disebut ahli Parlimen Hulu Langat) mungkin sebahagian sejarah negara kita, bagaimanapun dalam melakar kurikulum Sejarah supaya kekal relevan dan seimbang, setiap pembangunan (kurikulum) akan dilaksana melalui proses yang telus dan berasaskan pandangan yang membabitkan pakar sejarah, ahli akademik serta institusi seperti Arkib Negara. "Pada masa sama, sesi libat urus dengan guru, badan profesional dan masyarakat turut dilaksanakan bagi memastikan kandungannya kekal relevan dan tepat," katanya. Sumber – Harian Metro
|

axl_bach replied at 11-2-2026 07:26 PM
Kes mahkamah l*w*t kena masuk sekali ke?
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
12-2-2026 10:11 AM GMT+8 , Processed in 1.493050 second(s), 26 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.