|
KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia melancarkan Program Santun Pelajar, yang mana salah satu inisiatif utamanya mengagihkan sehingga satu juta Nasi Mekdi kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai usaha menyantuni dan menyokong kumpulan ini di seluruh negara yang berdepan cabaran menyediakan keperluan asas sepanjang pengajian.
Majlis pelancaran di restoran McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa itu disempurnakan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar selain turut menyampaikan penyerahan simbolik baucar kepada wakil-wakil IPT terlibat. Menurut beliau, program berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk menyokong para pelajar di seluruh negara, khususnya golongan kurang berkemampuan dan yang berdepan cabaran kewangan. “Majlis pelancaran ini adalah permulaan kepada visi McDonald’s untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir hanya kerana kekangan asas kehidupan,” katanya ketika berucap pada sesi pelancaran tersebut di sini, baru-baru ini. Azmir menerangkan, pihaknya turut mengambil kira realiti peningkatan kos makanan, pengangkutan dan penginapan yang memberi tekanan besar kepada pelajar IPT di Malaysia. “Tekanan ekonomi bukan sesuatu yang abstrak. Laporan oleh Nutrition Society of Malaysia (Financial Problems Associated with Food Insecurity Among Public University Students in Peninsular Malaysia), menunjukkan lebih 60 peratus pelajar di beberapa universiti awam mengalami ketidakjaminan makanan,” ujarnya. Tambah beliau, data tersebut menjadi pendorong kepada pelaksanaan Program Santun Pelajar, selain kisah-kisah dikongsikan golongan berkenaan yang bergelut mendapatkan makanan berkhasiat setiap hari. Melalui sesi libat urus bersama rakan IPT termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Selangor (UIS) dan beberapa institusi lain, maklum balas diterima bagi memastikan bantuan yang diberikan tepat pada masanya dan bersesuaian dengan keperluan pelajar. Sebagai fasa permulaan, program ini melibatkan 20 IPT merentasi 11 negeri dengan pengagihan baucar hidangan Nasi Mekdi bermula 19 Februari hingga 10 Mac 2026, bersempena bulan Ramadan dan boleh ditebus bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam. Sebanyak 50,000 set Nasi Mekdi akan disajikan setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh tersebut, dengan sasaran untuk 75 IPT pada masa hadapan. Azmir berkata, pemilihan sajian nasi dibuat kerana ia merupakan makanan ruji rakyat Malaysia serta mudah diterima ramai dan disediakan dalam skala besar di seluruh rangkaian restoran syarikat itu. Setiap set Nasi Mekdi mengandungi nasi putih, kuah kari kentang, telur, Ayam Tenders McD Pedas dan minuman teh ais lemon sebagai satu hidangan lengkap. Beliau memaklumkan, penerima bantuan dikenal pasti secara telus melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar di setiap IPT bagi memastikan sokongan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Dalam pada itu, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIS, Dr. Salman Zainal Abidin menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sokongan terus kepada pelajar yang memerlukan, terutama dalam menghadapi tekanan kos sara hidup. “Kami amat menghargai inisiatif ini kerana ia memberikan sokongan terus kepada pelajar yang memerlukannya. Kos sara hidup memberi tekanan kepada pelajar, dan program seperti ini membantu mereka kekal fokus dalam pengajian,” ujarnya. Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) Beranang, Alya Juwairiyah Rizal Hafiz, 21, meluahkan rasa syukur atas inisiatif berkenaan kerana majoriti pelajar di kampus tersebut terdiri daripada golongan asnaf yang menerima bantuan bulanan. Katanya, sumbangan tambahan itu amat membantu memandangkan kos makanan di Selangor kini semakin meningkat termasuk di pasar malam. Beliau memberitahu, sebelum ini ada pelajar yang hanya makan sekali sehari bagi berjimat cermat, namun dengan bantuan Nasi Mekdi mereka sekurang-kurangnya dapat menikmati dua hingga tiga kali makan sehari. “Jadi sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar sasar. Mereka boleh kenyang. “Mungkin selepas ini lebih banyak rangkaian makanan segera tampil menghulurkan sumbangan sama memandangkan ramai pelajar kolej berdepan masalah kewangan, RM10 sehari kadangkala tidak mencukupi terutama pada hujung minggu apabila kafe kampus ditutup,” katanya. Sumber :– KOSMO! ONLINE
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
23-2-2026 08:38 PM GMT+8 , Processed in 0.055459 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.