HARUN melihat keadaan rumah yang hangus di Kampung Haji Noor, Simpang Renggam, semalam
KLUANG , 24 Sept : Seorang warga emas, Misnah Tabri, 72, bagaikan mendapat kuasa luar biasa dengan mendukung suaminya, Harun Badar, 78, yang kudung kaki kiri dan membawanya keluar dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Haji Noor, Simpang Renggam di sini, jam 11.15 malam semalam.
Ketika kejadian, pasangan warga emas itu tinggal berdua di rumah selepas anak bongsu mereka, Fauzi, 38, yang bekerja sebagai mekanik di bengkel membaiki kenderaan berada di Johor Bahru.
Menurut anak ketiga daripada empat anak pasangan berkenaan, Nizam, 48, ibunya terdengar jeritan jiran memberitahu rumah mereka terbakar.
“Api mula merebak ke bilik tidur. Ibu mendukung bapa keluar dari rumah melalui dapur sebelum berlindung di rumah jiran.
“Api merebak pantas dan 10 minit kemudian, rumah hampir hangus. Mereka bertiga tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Nizam berkata, sebahagian rumah berusia lebih 10 tahun itu dibina menggunakan papan menyebabkan api marak dengan pantas.
Katanya yang bekerja sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Hassan Yunos, Renggam, ibu bapanya serta Fauzi kini menumpang di rumah adik tirinya, Hamidah Ahmad, 40-an, yang juga anak Misnah hasil perkahwinan terdahulu.
“Kerugian dianggarkan RM50,000, tetapi kami bersyukur kerana ibu bapa terselamat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Mohamad Adam berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 11.17 malam.
“Kami tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian dan ketika itu, 90 peratus daripada rumah berkenaan sudah hangus.
“Api dikawal dalam masa 10 minit dan dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian. Punca kebakaran masih disiasat,” katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|