Hanya 46 peratus pengundi di negara ini menyatakan mereka berpuas hati terhadap prestasi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika ini, sekali gus mencatatkan penurunan berbanding 71 peratus pada Ogos 2018. Perkara itu dinyatakan dalam hasil kajian badan penyelidikan Merdeka Center di seluruh negara pada Mac 2019. Memetik kenyataan yang dikeluarkan Merdeka Center pada 26 April, hanya 46 peratus pengundi yang memberi penarafan positif terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sokongan rakyat terhadap pentadbiran Dr Mahathir juga merosot apabila jumlah pengundi yang merasakan 'negara ini menghala ke arah yang salah' meningkat dari 24 peratus pada Ogos 2018 kepada 46 peratus pada Mac 2019. "Kemerosotan dalam penarafan itu dipercayai ada kaitan dengan tiga faktor iaitu situasi ekonomi menurut tanggapan pengguna biasa, tanggapan terhadap prestasi kerajaan dan kebimbangan terhadap hak serta keistimewaan orang Melayu dan layanan adil terhadap kaum-kaum lain di Malaysia," jelas Merdeka Center. Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi pengurusan ekonomi negara oleh kerajaan turut mencatatkan penurunan daripada 60 peratus pada Ogos 2018 kepada 40 peratus pada Mac 2019. Antara isu-isu lain yang menjadi kebimbangan rakyat adalah kontroversi yang menyelubungi insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ dan cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Kajian itu turut mendapati kebimbangan terhadap situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan, kadar inflasi dan kos sara hidup kekal tingggi pada tahap 55 peratus. "Kebimbangan tentang usaha mengekalkan hak orang Melayu dan layanan adil terhadap kaum-kaum lain pada tahap 23 peratus manakala kebimbangan tentang rasuah telah menurun daripada 33 peratus kepada 23 peratus," lapor Merdeka Center. Selepas hampir setahun memerintah, sudah tiba masanya PH memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi dan keharmonian negara, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap mereka. - CARI
|
ADVERTISEMENT