MOSCOW: Saintis di utara Rusia menemui lokasi yang menjadi tempat perkumpulan walrus di sebuah kawasan terpencil di Laut Kara.
Reuters melaporkan, penemuan itu suatu yang mengejutkan kerana kumpulan walrus itu terpaksa bersesakan dan berhimpit berikutan habitat dataran ais yang diancam penyusutan selain ancaman aktiviti manusia.
Tabiat berkumpul bukan sesuatu yang asing bagi spesies ini, namun lazimnya ia melibatkan kelompok-kelompok kecil dalam 'keluarga', dan jarang sekali ditemukan haiwan itu bersesak dalam jumlah yang besar.
Lokasi perkumpulan sangat penting bagi spesies itu kerana ia menjadi tempat untuk berehat selepas membuat renangan jauh, membiak dan bersosial. Lokasi yang ditemui itu begitu terpencil di semenanjung Yamal, dan para saintis menganggarkan sekitar 3,000 ekor walrus sedang bersesakan.
Lazimnya, tempat perkumpulan seumpamanya bertempat di atas dataran ais yang hanyut di sekitar kepulauan Artik. Namun, kitaran iklim yang lebih panas mengakibatkan banyak ais mencair dan mengancam ruang kehidupan yang diperlukan spesies itu.
Lebih memberi tekanan, adalah habitat yang musnah akibat aktiviti penerokaan minyak dan gas selain terdapat lebih banyak laluan kapal di Artik.