Makan malam, pegang tangan, berswafoto, bermain bunga api bersama-sama sebelum dihantar pulang ke rumah. Itu pakej istimewa diiklankan seorang pemuda kesepian untuk mengisi malam tahun baharu dengan gadis bertuah.
Lelaki dikenali sebagai Khoirul Anam dari Kaliangkrik, Magelang, Jawa Tengah itu mengaku membuat gegantung memaparkan iklan berkenaan pada 20 Disember lalu. Ia dipasang di tiang elektrik dan pokok. Lelaki berusia 28 tahun itu mengaku membuat gegantung berkenaan dengan menawarkan khidmat itu semata-mata untuk hiburan saja. "Tujuan utamanya bukan untuk tular. Kandungannya boleh menghiburkan ramai orang tanpa merugikan orang lain.
"Ya, siapa tahu selepas tular... (saya) mendapat jodoh," katanya seperti dipetik portal Tribunnews.
Lelaki yang lebih dikenali sebagai Anam dalam temu bual itu berkata, idea asal untuk membuat iklan itu muncul selepas rakannya tidak memiliki pasangan untuk menyambut tahun baharu. "Tahun baharu, orang single tidak ada pasangan. Jadi saya fikir buat papan iklan, kebetulan saya juga single dan siapa tahu mungkin ada yang mahu menemani saya," katanya. Anam berkata, selepas iklan itu menjadi tular, dia menerima 2,000 pesanan masuk ke WhatsAppnya. "Maklum balas diterima semuanya lucu, tapi saya tidak sempat balas kerana begitu banyak kiriman WhatsApp," katanya. Sebelum tular iklan itu, lelaki itu sememangnya terkenal dengan pelbagai idea kreatif lain. Antaranya, dia pernah mengiklankan jual beli kelemumur, perlumbaan menatap gambar bekas kekasih paling lama dan menjual nasi goreng tanpa nasi.
Semuanya dimuat naik di Instagram peribadinya, @anam_chenel yang kini mempunyai 18,500 pengikut. Bagi Anam sendiri, meskipun dirinya tinggal di kampung, ia bukan penghalang untuk dirinya menjadi lebih kreatif.
"Tetap berkarya walaupun dari pedalaman kampung dan tetap patuhi protokol kesihatan," katanya. Berdasarkan iklan itu, Anam turut menyatakan bahawa 'khidmat' ditawarkan adalah untuk perkara positif sahaja dan tidak melayan isteri orang. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|