Sebagai pelakon berpengalaman, Syafie Naswip tidak menafikan cemburu melihat pelakon yang mendapat karakter hebat dan mencabar. Berbeza dengannya, aktor yang pernah diangkat Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin Ke-11 menerusi drama Ilham Suci itu jarang menerima watak yang diingini.
"Saya akui, terbit perasaan cemburu di hati apabila menonton filem tertentu dan drama yang ditayangkan di Netflix. Terfikir juga bagaimana mahu mendapatkan karakter yang hebat. "Bagaimanapun, saya sedar dalam hidup ini termasuk di pentas lakonan, kita tidak akan dapat apa yang didambakan. Jika dapat, itu rezeki terpijak. Ada masanya, saya mendapat karakter 'best', tetapi jalan cerita pula sebaliknya.
"Saya jarang dapat karakter yang betul-betul diingini. Kebanyakan cerita ditulis untuk semua, tiada spesifik. Sebagai contoh, filem Black Swan. Memang watak utama ditulis untuk Natalie Portman. Jika bintang lain pegang watak itu, mungkin akan jadi lain. "Begitu juga watak Leonardo DiCaprio dalam filem Titanic. Saya mengharap akan ada karakter khusus untuk diri, suatu ketika nanti. Tak kisah watak baik atau antagonis. Secara peribadi, saya sudah mendapat watak 'masterpiece' menerusi filem Mukhsin, tetapi saya mahu lebih besar lagi," katanya kepada BH Online.
Mengulas filem terbaharu, Gila Gusti, Syafie berkata, dia tertarik dengan kelainan watak Mamat yang ditawarkan kepadanya kerana menyerlah sisi fizikal berikutan ada adegan pertarungan. Filem bercorak aksi terbitan APAC Wrestling menerusi Lomo Pictures Sdn dengan kerjasama Quick Sent dan Quin Media itu sudah memulakan penggambaran sejak 26 Disember lalu.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-25 menerusi filem Songlap itu berkata, dia lebih dikenali dengan watak berat, sejak 15 tahun bergelar anak seni. "Sebagai pelakon, tiada istilah puas kamus hidup. Saya terbuka untuk terus mencabar diri dan meneroka perkara baru dengan pelbagai genre cerita, biarpun belum tahu bagaimana hasilnya. "Lagipun, saya jarang menerima tawaran berlakon cerita aksi. Saya dimaklumkan filem ini berpaksi sukan gusti yang pertama diterbitkan di Malaysia. "Selama ini, saya banyak bermain emosi. Selalu main emosi, penat juga. Sesekali beralih angin cuba bermain dengan fizikal pula. Jadi, jadi atau tak jadi, itu belakang kira," katanya.
Pemenang Pelakon Kanak Kanak Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem Mukhsin itu berkata, Gila Gusti menjadi filem ke-15 lakonannya. "Saya ada dua filem yang menanti tayangan, Kenderaan Berat Ikut Kiri bergandingan dengan Sweet Qismina dan Sumpahan Jerunai," katanya. Katanya, banyak lagi watak yang ingin dicubanya.
"Jika dengar filem aksi seperti Gila Gusti ini, ada yang skeptikal hero kena berbadan sado atau berfizikal besar. Saya sendiri juga tertanya apakah watak jururawat semestinya perempuan. Sedangkan, lelaki pun boleh jadi jururawat "Biasalah, kita sudah terbiasa dengan skeptikal dan selesa dengan fahaman begitu. Ada watak tertentu untuk bentuj saiz tubuh. Sedangkan, jika kena intipati dan olahan cerita, insya-Allah, pandangan skeptikal boleh berubah," katanya. Sementara itu, Datuk Alvin Ooi selaku penerbit filem Gila Gusti, optimis dengan sukan kombat seperti gusti yang diketengahkan. "Sekalipun industri filem tak serancak seperti tahun sebelumnya, kami mahu terus berjuang untuk merangsang industri seni tempatan.
"Kalau ada yang anggap sukan ini tidak ada penggemarnya atau tak relevan, mungkin anda silap. Saya diberitahu jumlah langganan siaran sukan gusti ini di saluran televisyen berbayar masih tinggi," katanya. Selain Syafie, turut membintangi filem Gila Gusti ialah Elizabeth Tan, Aisar Khaled dan ahli gusti profesional seperti Ayez Shaukat, Nor Phoenix Diana, Poppy, The Wonderboy dan Gotham. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|