"Sebenarnya kita adalah bangsa yang tidak mahu mengkaji dan membaca," kata pengarah, Azizi 'Chunk' Adnan mengulas dakwaan dirinya penyebar dan pengamal agenda kegiatan Freemason dan New World Order dalam filem dan setiap drama diarahankannya.
Azizi berkata, orang Melayu adalah bangsa yang sudah 'dibrainwash' dan didoktrin sekian lama serta cepat melatah apabila diapi-apikan. "Jadi, mereka tak boleh nak terima dan anggap mengarut, pada hal buktinya banyak berlaku di depan mata. "Bila buat cerita yang sentuh mengenai teori konspirasi ini, penonton tak nak fikir dan saya pula dikatanya gila. Orang yang ada tahap intelektual yang tinggi, mungkin faham perkara ini. "Tapi untuk penonton yang sukakan drama konsep popular, cerita ini dianggap bodoh," katanya. Terdahulu pengarah filem Hero: Jangan Bikin Panas yang berkisarkan kehidupan anggota Bomba ini dikecam kerana didakwa memaparkan banyak teori Illuminati di dalam karyanya.
Azizi berkata, dia berniat mahu menyampaikan apa yang dirasakan betul, tetapi sebaliknya disalah anggap pula. "Sebenarnya saya nak beritahu orang apa itu Illuminati, namun mereka ingat saya pula yang terbabit kerana mereka sebenarnya tak menonton pun. "Mereka hanya dengar cerita dan tengok poster dan bukannya tonton filem itu. Orang kita, memang hanya suka budaya ikut-ikutan," katanya. Terbaharu, Azizi diberikan kepercayaan mengarah filem 10 Tips Tipu Bini terbitan Rumah Produksi Merah milik Datuk Awie yang akan ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula 7 Januari ini. Menurutnya, dia bersyukur rezeki masih murah untuk mengarah filem. "Pada saya, rezeki ini semua atas izin Allah. Saya reda dan tidak ada masalah dengan mana-mana pihak. Saya masih berkarya dan serahkan soal rezeki pada Yang Esa. "Sebenarnya ada perjuangan yang nak disampaikan dalam karya saya dan bagi filem 10 Tips Tipu Bini, ia sebuah komedi ringan dan saya hanya selitkan sedikit unsur dakwah berkenaan rumah tangga pasangan suami isteri. "Sebelum ini, saya pernah buat filem yang ada isi seperti Antoo Fighter dan orang kata mengarut. Namun saya juga boleh arahkan drama komersial seperti Awan Dania serta SpanarJaya yang boleh diterima pula," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT