Segalanya hancur bagaikan kaca terhempas ke lantai. Impian pelakon, Lia Natalia bersanding atas pelamin nan indah bersama lelaki dicintai musnah apabila perkahwinan dibatalkan pada saat akhir.
Persiapan sudah dilakukan hampir 70 peratus, malah pelakon Ajari Playboy Itu dan Bukan Gadis Biasa itu mengeluarkan belanja hampir RM50,000 untuk persiapan perkahwinannya di Tawau, Sabah. Semuanya lebur bagaikan debu berikutan perhubungan terlerai di tengah jalan. Enggan mendedahkan punca hubungan bersama jejaka berusia 40 tahun terlerai kira-kira sebulan lagi disatukan dalam ikatan suami isteri, Lia berkata, ia terlalu peribadi untuk dikongsi. Lagi pun, katanya, dia enggan membuka aib dengan mendedahkan maklumat bekas pasangannya kerana bimbang terkena tempias pada kemudian hari. "Apapun punca perhubungan putus dan perkahwinan terpaksa dibatalkan, biar hanya saya, keluarga dan teman rapat yang mengetahuinya. Saya tak mahu mengaibkan sesiapa, apatah lagi kisah ini terlalu peribadi. "Pada masa sama, saya juga tidak mahu meletakkan kesalahan kepada satu pihak sahaja. Cukuplah, orang tahu ada masalah yang tidak boleh diterima," katanya kepada BH Online. Awal tahun ini, pada majlis perkahwinan rakan baiknya, Ayda Jebat, Lia berkongsi, perkahwinan yang dengan jejaka dikenali hampir setahun lalu sepatutnya berlangsung Disember lalu, tetapi dibatalkan selepas persiapan sudah dilakukan. Bercerita lanjut, Lia atau nama sebenarnya, Alia Afiqah Abden berkata, hampir RM50,000 yang digunakan untuk persiapan perkahwinan lebur begitu sahaja.
"Semua persiapan sudah tersedia seperti tiket penerbangan pulang ke Tawau. Bayangkan, tiket sahaja sekitar RM20,000, tidak masuk persiapan lain seperti tempahan lokasi, hantaran dan sebagainya. "Selain itu, penggambaran pra-perkahwinan sudah dijalankan September lalu dan tunggu untuk dikeluarkan. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan ini dan menyifatkannya bukan rezeki saya. "Hakikatnya, tiada jodoh antara kami. Saya terima walaupun sakit. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Cuma, buat masa sekarang, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai apa yang berlaku. Lebih baik, saya fokus dalam lakonan. Soal cinta tolak tepi dahulu," katanya. Jauh di sudut hati, Lia berkata, dia takut mahu menjalinkan hubungan dengan lelaki, malah mungkin mengambil masa untuk merawat luka di hatinya. "Jujur, saya amat serik. Saya jadi takut kembali membuka hati kepada lelaki. Akhirnya saya jadi sakit kerana tahu komitmen saya tahap mana apabila menjalinkan hubungan serius. "Jadi, saya malas nak fikir soal lelaki. Penat, duit, masa dan tenaga, semuanya habis. Berilah saya masa untuk mengubati kekecewaan hati.
"Bohonglah jika saya tak bersedih, segala persiapan nak berkahwin sudah dilakukan, tetapi tidak menjadi," katanya yang ditemui pada sidang media drama terbaru, A. I. In Love arahan Nor Ashikin Zainal di Wisma TV, Angkasapuri, Khamis lalu. Mengulas mengenai kesihatannya, Lia tidak menafikan, emosi agak tertekan, tetapi bersyukur keluarga berada di sisi ketika episod hitam itu berlaku. "Perkara ini terjadi sekitar November lalu dan saya berada di Tawau. Keluarga menjadi kekuatan untuk saya berdepan dengan kesedihan ini. "Ibu berpendapat lebih baik tak jadi daripada saya menyesal selepas berkahwin. Malah, keputusan ini juga saya buat selepas berbincang dengan keluarga. Kami merasakan membatalkan perkahwinan adalah jalan terbaik," katanya.
Lia berkenalan dengan jejaka berkenaan selama sebulan, sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Katanya, mereka bertemu selepas pulang mengerjakan umrah, awal tahun lalu. Tidak menyalahkan takdir, Lia turut berkongsi pengajaran yang diperoleh selepas kejadian itu. "Mungkin lelaki itu adalah hamba yang Allah kurniakan untuk saya belajar tidak mengambil langkah terlalu cepat membuat keputusan menamatkan zaman bujang. "Lebih baik mengambil masa, mengenali hati budi dan latar belakang terlebih dahulu," katanya yang mahu fokus pada kerjaya, buat masa ini. Dalam perkembangan lain, Lia kini terikat dengan penggambaran drama Diva Popular arahan Erma Fatima yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|