Kejadian pesawat Indonesia, Sriwijaya Air Flight SJ182 yang terhempas pada Sabtu lalu turut memberi kesan kepada vokalis kumpulan Seventeen iaitu Ifan.
Memetik laporan Liputan6, Ifan mengakui dia terkejut apabila mengetahui berita mengenai nahas kapal terbang yang berlepas dari Lapangan Terbang Seokarno Hatta, Jakarta menuju ke kampung halamannya di Pontianak. Menurut Ifan, ketika mengetahui berita tersebut dia berdoa agar tiada kenalan yang terlibat namun hatinya sangat sedih apabila mengetahui salah seorang mangsa nahas tersebut merupakan sahabatnya di kampung. "Sudah tentu saya sangat terkejut sebab sebagai anak seni, sudah menjadi kebiasaan menaiki kapal terbang. Kalau ada berita kapal terbang terhempas, pasti membuatkan jantung berdebar.
"Sebab teringatkan ada kawan atau keluarga serta saudara-mara. Bila dapat tahu berita itu, pertama kali saya berdoa agar tiada saudara yang terlibat sama. Maksud saya, perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa saja. "Ternyata, salah seorang mangsa nahas kapal terbang itu adalah sahabat, teman, rakan sepejuangan saya. Sedih sangat," kata Ifan. Dalam kejadian pada petang Sabtu lalu, pesawat yang membawa 62 penumpang termasuk anak kapal terputus hubungan selepas berlepas dari lapangan Terbang Soekarno Hatta menuju ke Pontianak. Pesawat tersebut dilaporkan terhempas dan menjunam ke dalam laut di Kepulauan Seribu, empat minit selepas berlepas dari lapangan terbang berkenaan. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT