PUTRAJAYA, 16 JAN: Seramai 1,200 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara digerakkan mulai hari ini sehingga 26 Jan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP). JPJ berkata kolaborasi mapan antara kedua-dua agensi penguat kuasa ini penting dalam merealisasikan aspek penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) dengan lebih serius. “Gerak kerja seumpama ini akan memberi keutamaan khusus kepada beberapa kawasan dan lokaliti tertentu di seluruh negara yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya.
“Ia akan dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu rondaan jalan utama negeri dan lebuh raya; sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam; dan pemeriksaan serta pemantauan di terminal bas utama (TBS),” kata JPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini. Menurutnya, langkah bersepadu ini wajar dilakukan bagi tujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin meningkat akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat tempatan. Justeru, JPJ berharap seluruh rakyat Malaysia akan turut memberi kerjasama sepenuhnya dalam tempoh penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP agar penularan ini ditangani secara berkesan. Sumber – BERNAMA |
ADVERTISEMENT