Lebih setahun tidak pulang ke kampung halaman di Sabah berikutan pandemik Covid-19, pelakon Azwan Kombos meluahkan rasa kerinduan terhadap ibunya iaitu Sakti Jaludin.
Azwan atau nama sebenarnya Mohamad Al-Azwan Kombos, berkata kali terakhir dia menziarahi ibunya pada November 2019 dan kebiasaannya dia akan terbang pulang ke kampung tiga kali setahun. Justeru itu, pelakon berusia 35 tahun ini hanya dapat melepaskan kerinduan terhadap ibunya menerusi panggilan telefon. "Itulah kali terakhir saya pulang ke kampung. Jika sebelum itu setahun mungkin tiga kali saya balik jumpa ibu... tahun lepas memang saya, isteri dan anak di Kuala Lumpur sahaja.
"Memandangkan tahun lepas kita kita semua berjaga-jaga dengan pandemik Covid-19, memang tak balik teruslah! Semasa dibenarkan rentas negeri, hati ini memang nak sangat balik tapi saya bimbangkan keadaan ibu dan batalkan hasrat itu.
"Sekarang ini hanya mampu bertanya khabar menerusi panggilan telefon... sejujurnya memang rindu sangat dekat ibu, hari-hari teringat dekat dia!” katanya kepada mStar. Sementara itu, suami kepada aktres Ezzaty Abdullah ini berkata apa yang lebih membimbangkan kediaman ibunya yang terletak di Kota Belud, Sabah sedang dinaiki air akibat hujan yang tidak berhenti. "Risau juga apabila ibu kata air semakin naik di kawasan rumah. Rumah kami itu jarang banjir, tapi kalau air dah naik memang kena berwaspada dan berjaga-jaga. "Mujurlah kakak tinggal berdekatan jadi dia boleh jaga dan pantau keadaan ibu. Harap-harap keadaan baik sahaja dan air cepat surut, ” ujarnya.
Pada Ahad, media tempatan melaporkan sebanyak sembilan daerah di Sabah terkesan dengan banjir akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. Antara daerah yang terkesan ialah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Tuaran, Papar, Pitas, Paitan dan Beaufort. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|