Restu ayah menjadi pegangan Syafi Tee, 28, dalam mengharungi cabaran dunia seni. Anak kepada pendakwah bebas dan ahli akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah ini beruntung kerana ayah yang dipanggil Papa, faham selok-belok dunia seni serta cabaran ditempuhi.
"Papa tahu dunia penggambaran dan kerja seni. Papa juga selalu berada di depan kamera dan bekerja bersama kru. "Papa sudah 'masak' dengan dunia ini. Papa beri restu cuma saya kena menjaga nama baiknya dan keluarga," katanya kepada BH Online. Syafi yang digilap bakat melalui Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 menganggap cabaran dan ujian ada dalam setiap bidang pekerjaan.
"Cabaran dan ujian itu ada di mana-mana. Saya yang masih hijau ini kena sentiasa kuat. "Semua nasihat Papa dan keluarga amat penting. Saya harap terus istiqamah dengan prinsip dan cara begini," kata anak kedua daripada enam beradik ini. Antara pesanan Papa, kata Syafi, adalah soal menjaga batas bukan muhrim ketika berlakon. "Saya letak piawaian sendiri iaitu tiada adegan bersentuhan. Kalau ada sekalipun, mesti berlapik. "Papa selalu ingatkan perkara itu. Pulang ke rumah, Papa pasti tegur dan nasihat supaya saya tidak buat perkara bukan-bukan di set penggambaran," katanya. Syafi berkata, jika tidak selesa dengan mana-mana adegan, dia berbincang dengan pengarah untuk mencari alternatif lain termasuk sudut kamera ketika penggambaran. Tambah Syafi, dia tidak pernah menyembunyikan status diri sebagai anak pendakwah terkenal sejak mula terjun ke dalam dunia seni. "Dalam kalangan kru dan pelakon, mereka tahu saya anak siapa. Saat mula perkenalkan diri, mereka sudah dapat mengagak," katanya. Mengimbau perjalanan seninya, Syafi atau nama penuh, Mohd Syafi berkata, pada mulanya dia mahu mencari karier yang mempunyai waktu kerja anjal. "Ketika itu, saya dalam proses menamatkan pengajian dalam bidang teknologi pembuatan di sebuah institusi pengajian tinggi. "Jadi, saya cuba isi masa lapang dengan mencari kerja. Tidak terlintas menjadi pelakon dan penyertaan dalam DFKL 2019 membuka ruang saya," katanya.
Syafi mengaku seronok menimba pengalaman menjadi pelakon. "Cuma sejak pandemik COVID-19 menular, kerja lakonan tertunda dan bersambung apabila keadaan terkawal. "Ketika fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya sedang menjalani penggambaran drama Dear Cinta," katanya yang sempat menyertai misi bantuan banjir bersama Youth Care di Segamat, Johor, baru-baru ini. Sejak dua tahun bergelar pelakon, Syafi membintangi beberapa drama terbitan TV3 seperti Ironi Kasih, Tuan Danial, So Kampung, Tragedi Balik Kampung dan terbaru, Hadiah Dari Tuhan. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|