Penyanyi hip-hop terkenal, Joe Flizzow menyifatkan kehidupannya sangat bahagia dan lebih sempurna selepas tujuh bulan memegang status suami. Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, berkata dia bersyukur kerana dipertemukan dengan isteri yang sangat memahami dan menerima diri seadanya.
"Saya rasa kehidupan saya lebih aman, damai dan tenteram. Akhirnya, saya bertemu ketenangan jiwa yang dicari-cari selama ini. 'Saya bersyukur dipertemukan dengan isteri dan keluarga mentua yang memahami dan menerima diri ini seadanya," katanya kepada BH Online.
Jun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Apa Khabar dan Sampai Jadi ini sah bergelar suami kepada Marini Ramlan pada majlis ringkas mengikut prosedur operasi standard (SOP). Berkenalan sejak 15 tahun lalu, Joe dan Marini mula menjalin hubungan serius pada 2016. Bekas anggota kumpulan Too Phat ini turut meluahkan rasa terharu atas kesungguhan Marini yang juga pelukis profesional untuk menjadi isteri yang baik. "Saya sedar, dengan perangai saya yang begini, bukan senang untuk dia menjaga saya... Alhamdulillah. "Saya juga akan menyokong kerja seni isteri dan terus menghasilkan karya yang bagus," katanya yang tampil dalam sidang media pelancaran single dan video muzik terbarunya berjudul Ciao secara virtual, baru-baru ini. Ciao yang diterbitkan komposer dari Singapura, Alyph turut menyaksikan Joe berkolaborasi dengan artis hip-hop terkenal Korea Selatan, Jay Park dan MK dari kumpulan K-Clique. Joe berkata, Ciao dipilih selepas mendapati lagu itu sesuai untuk dinyanyikan bersama Park.
"Ini adalah lagu kedua yang saya cipta untuk dinyanyikan bersama Park selepas mendapati karya pertama yang saya hasilkan tidak begitu sesuai. "Dua hari selepas menghantar lagu itu kepada Park, dia menyatakan persetujuannya untuk bekerjasama. "Ini kali kedua kami berpadu suara. Sebelum ini saya pernah diundang untuk berduet dengannya menerusi lagu berjudul Twisted Dreams," katanya. Ditanya reaksinya selepas nama muncul sohor kini di Twitter berikutan kemunculan single itu, Joe melihatnya sebagai petanda positif bahawa industri muzik Malaysia masih meriah dalam pandemik.
"Sudah tentu saya gembira kerana menunjukkan peminat masih menyokong dan industri muzik tetap meriah. "Kalau bukan kerana wabak ini, saya bercadang untuk 'terbang' ke Korea Selatan bersama MK untuk menjalankan penggambaran video muzik di sana. "Saya gembira apabila Park suka dengan video muzik yang kami hasilkan. Dia memberikan emoji api terhadap video yang saya tunjukkan kepadanya itu," katanya.
Sejak dilancarkan di YouTube, Jumaat lalu, video muzik Ciao sudah merekodkan lebih 600,000 tontonan. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|