Penyanyi Siti Sarah menafikan suaminya yang juga pelawak Shuib meletakkan kerjaya seni di tempat kedua selepas perniagaan. Sarah berkata, keputusannya itu sebenarnya dipengaruhi oleh sokongan dan sambutan luar biasa yang diberikan orang ramai terhadap perniagaan minuman BubbleBee yang sedang diusahakannya.
"Saya bersyukur walaupun kami melalui pelbagai cabaran dan kontroversi, masih ramai yang menyokong. "Jika berlaku pada orang lain, mungkin mereka sudah terduduk, tetapi atas izin dan pertolongan Allah, kami diberikan kekuatan untuk terus melangkah. "Sepanjang mengenali Shuib, dia insan yang sangat kuat melalui cabaran. Nampak sahaja seperti suka bergurau, tetapi Shuib sebenarnya seorang yang bijak. "Dia juga memiliki perancangan yang rapi untuk masa depan hidupnya. Dia ingin mempersiapkan apa yang terbaik untuk keluarga dan anak-anaknya," katanya.
Terdahulu, Shuib mengumumkan pengundurannya dari Hot FM selepas dua tahun mengendalikan segmen Geng Pagi Hot. Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya yang berakhir pada 31 Januari ini. Menurut Sarah, dia mengakui suaminya mengambil keputusan yang lama untuk berundur demi memberi lebih perhatian pada perniagaan yang semakin berkembang. "Insya-Allah, perniagaan Bubblebee akan memiliki yayasan. Ini perkara yang bukan kecil untuk dilakukan dan Shuib memikul tanggungjawab besar untuk melaksanakannya. "Selain itu, kami mahu melahirkan Bubblebee Studios, di mana akan menghasilkan filem dan pelbagai lagi. Sekarang, kami baharu mula dengan saluran YouTube," katanya. Dalam perkembangan lain, Sarah merancang merakamkan single selepas muncul dengan lagu duet bersama Hazama, Terakhir Buat Teman, Disember lalu. Bagaimanapun, susulan situasi pandemik COVID-19, perancangan terbabit terpaksa ditangguhkan. Justeru itu, Sarah kini lebih fokus menguruskan perniagaannya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT