Mutakhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka aib pasangan secara terang-terangan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan. Lagi-lagi hari ini penyebaran aib makin meluas dengan menggunakan teknologi serba canggih.
Terdapat di dalam sebuah hadis yang meminta supaya kita menutup keaiban sendiri ataupun orang lain. Sabda Baginda Rasulullah: Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau kamu mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya. [HR Tirmizi 1955] Hadis ini menuntut kita supaya menyembunyikan aib sendiri dan menutup keaiban orang lain kerana boleh jadi suatu hari nanti sang pendosa akan menjadi orang yang baik bahkan lebih baik daripada kita yang mencela.
Aib pasangan adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya. Hari ini ada pasangan yang menggunakan internet untuk menceritakan keburukan pasangannya. Perbuatan ini merupakan perbuatan yang ditegah dan dilarang di dalam Islam melainkan kita menggunakan saluran yang betul seperti mana kata Imam Nawawi dalam menceritakan perihal seseorang khususnya suami isteri dibenarkan seperti berikut: 1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim. 2. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa. Perbuatan menyebarkan aib pasangan berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada menjaja kisah keruntuhan rumah tangga, merakam video, menyebar gambar mengaibkan pasangan. Bahkan kebebasan dalam media sosial juga menyaksikan pasangan tanpa segan-silu menandakan nama pasangan atau tag di post-post yang berkaitan yang mana tanpa kita sedar telah membuka aib pasangan. Sepatutnya, suami dan isteri perlu saling menjaga kekurangan diri kerana di sebalik kekurangan itulah yang akan melengkapkan kehidupan antara dua insan yang dihalalkan melalui perkahwinan. Buat pasangan suami isteri yang sedang dalam menghadapi masalah, berbincanglah dengan penuh kedamaian. Waspadalah dalam memuat naik apa-apa status di media sosial kerana ia bukanlah medium untuk meluahkan perasaan bahkan ia boleh menjadi satu tempat tercetusnya masalah yang lebih besar. Ia hanya membuka ruang untuk netizen dan orang luar menghakimi rumahtangga kita sedangkan apa yang mereka tahu hanyalah sejengkal daripada keseluruhan cerita. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT