"Kalau mahkamah syariah mendapati pernikahan itu sah, pasangan terbabit perlu mendaftarkan perkahwinan dan membayar denda, jika tidak sah, perkahwinan itu terbatal," kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pernikahan menggunakan jurunikah tanpa tauliah yang dibongkar Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais apabila menahan seorang bekas kakitangan awam di sebuah premis di Puncak Alam Shah Alam, Khamis lalu. Mohd Shahzihan berkata, lebih 100 pasangan dinikahkan menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah itu sejak lebih sebulan lalu diminta tampil segera ke Jais untuk membantu siasatan berkaitan perkara itu. Menurutnya, pihaknya perlu menjalankan siasatan terhadap semua pasangan itu dan mengambil keterangan mereka yang terbabit bagi menentukan sama ada pernikahan dijalankan sah dari segi syarak atau pun sebaliknya. Katanya, sekiranya didapati pernikahan mereka tidak sah, mereka perlu melakukan proses selanjutnya sama ada bernikah semula atau perlu mengambil tindakan lain. "Jais melihat kepada dua elemen iaitu perundangan dan juga penentuan hukum. "Ini yang kita perlukan mereka tampil. Kita perlu siasat dengan teliti kerana ia membabitkan hukum, bukan boleh main-main," katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau berkata, buat masa ini pihaknya memerlukan kerjasama segera daripada semua yang terbabit untuk meneruskan siasatan. "Nikah sindiket seperti ini macam yang kita ketahui tidak sama seperti jurunikah bertauliah, ada kemungkinan maklumat diberi tidak tepat misalnya pernah berkahwin satu, dua atau lebih. "Kita tak kata pernikahan itu tidak sah dari segi hukum, tetapi mereka perlu tampil untuk disiasat," katanya. Metro Ahad, semalam melaporkan lelaki yang menawarkan khidmat sebagai jurunikah tidak bertauliah itu mengenakan caj RM3,000 hingga RM5,000 untuk setiap pernikahan dengan alasan ia bergantung kepada penyediaan dokumen. Dilaporkan, lelaki berkenaan yang turut melakukan kegiatan itu bersama isteri dan anaknya pernah ditahan Jais sebelum ini. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT