Pandemik Covid-19 mencatatkan lebih 230,000 kes di negara ini dengan angka kematian mencecah hampir 900 kes, namun masih terdapat segelintir pihak mendakwa Covid-19 sebagai teori konspirasi.
Namun, apa yang pasti petugas barisan hadapan atau frontliners yang lebih memahami situasi yang bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di kebanyakan negara seluruh dunia. Begitulah luahan seorang frontliner mengenai keadaan yang menimpa dirinya termasuk rakan-rakan setugas dalam memerangi wabak itu.
"Kerja tanpa cuti, tak jumpa famili dah berbulan-bulan lamanya. Sahabat seorang demi seorang positif. Pilu hati bila terpaksa jemput sahabat untuk dihantar ke hospital. "Keluarga meraung-raung, minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sebab mereka tahu andai kata terkorban, tak boleh nak lihat jenazah untuk kali terakhir," tulis seorang frontliner di laman Facebook bernama Mat Yoe. Dia yang bertugas di sebuah pejabat kesihatah daerah (PKD) berkata, dalam mereka sibuk bertugas, ada segelintir pihak yang sibuk membuat teori konspirasi mengenai Covid-19 dengan hanya duduk tenang di rumah. "Kau duduk goyang kaki kat rumah dok sibuk canang Covid ni teori konspirasi. PM (Perdana Menteri) buat live, kau masuk kutuk PM. BPN (Bantuan Prihatin Nasional) kau tibai. "Puas-puas belek aplikasi Foodpanda lepas tu order. Shopee buka 12 kali sehari. Order dan order. Kau layan Netflix, layan YouTube... kami pukul 1,2 pagi dok atas jalan raya," katanya yang merujuk kepada pesakit Covid-19 yang dibawa ke hospital atau pusat kuarantin. Menurut Mat Yoe, mereka yang mendakwa Covid-19 sebagai teori konspirasi tidak menyelami situasi frontliners, malah tidak berjumpa dengan pesakit yang dijangkiti virus itu. Tambahnya, golongan berkenaan hanya mendakwa data berkaitan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekadar rekaan semata-mata. Sebaliknya, Mat Yoe menjelaskan bahawa 'kekuatan' frontliners hampir lumpuh dan bebanan kerja meningkat sebanyak 200 peratus berikutan lambakan kes saban hari. Sehubungan itu, dia mengingatkan pihak yang mendakwa Covid-19 sebagai teori konspirasi bertanggungjawab atas tindakan mereka. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT