LAMPUNG, INDONESIA: Sengaja mahu menyindir pemimpin setempat, sepasang suami isteri di Sumatera, Indonesia mengadakan sesi fotografi di atas jalan rosak dan berlubang. Dalam beberapa foto yang tular di media sosial menunjukkan, seorang wanita membuat aksi persis model dengan meniarap di jalan yang berlopak. Selain itu, wanita itu juga melakukan rutin aktiviti masyarakat setempat mencuci pakaian dan motosikal kononnya selepas melalui jalan berkenaan. Aksi berkenaan dilakukan untuk menyindir pemimpin daerah Lampung Selatan bagi menyelesaikan isu kerosakan Jalan Raya Tanjung Bintang yang tidak pernah selesai.
Lebih 25 foto di jalan rosak itu dimuat naik di Facebook, Ummu Hani, semalam hingga meraih ratusan perhatian warganet. Ummu Hani, 31, berkata, dia memang sengaja melakukan sesi fotografi itu di lokasi jalan menghubungkan daerah Tanjung Bintang dengan Jalan Dr Sutami itu. “Aku akui sengaja buat macam itu kerana sudah bosan melihat dan mendengar keluhan masyarakat tentang jalan rosak itu. “Jalan itu akses utama penduduk Tanjung Bintang ke bandar, tetapi sedihnya…ia rosak dan berlubang di sana sini. “Kadangkala menyebabkan kemalangan, malah saya dan suami sendiri pernah alaminya sendiri,” katanya dalam portal Kompas.com Menurut Hani, sesi fotografi itu dibantu suaminya, Dani Abdullah, 30, yang turut beraksi dalam beberapa keping foto. “Foto itu sebahagian cara halus melepaskan geram dan kecaman kepada pemimpin setempat kerana tidak mampu menyelesaikan isu jalan rosak sejak bertahun-tahun. “Saya lebih gemar menggunakan cara sindiran macam ini berbanding mencipta kebencian sesuai dengan minat saya membuat konten video komedi. Syukur ramai menyokong usaha kami ini,” katanya. – Agensi |
ADVERTISEMENT