SINGAPURA: Pandemik COVID-19 menjana nilai kekayaan yang besar kepada pengasas syarikat yang terbabit dalam industri penjagaan kesihatan. Kini, sebahagiannya mula terkesan. Sebagai contoh, Seegene Inc, pengeluar kit ujian COVID-19 dan Alteogen Inc, firma bioteknologi dengan teknologi suntikan subkutan. Pengasasnya menjadi bilionair apabila saham syarikat terbabit melonjak tahun lalu. Dalam masa beberapa bulan selepas pelaksanaan vaksin, mereka kehilangan gelaran itu selepas saham berkaitan menjunam lebih daripada 41 peratus, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index. Cerita sama berlaku kepada pengeluar sarung tangan getah di Malaysia, yang mempunyai sekurang-kurangnya lima bilionair industri pada Ogos lalu apabila krisis kesihatan melonjakkan permintaan bagi peralatan perlidungan.
Di sebalik peningkatan semula sementara semasa kerancakan urus niaga pelabur runcit bulan lalu, saham syarikat terbabit merosot sekurang-kurangnya 40 peratus sejak mencecah paras tertinggi, sekali gus melenyapkan lebih AS$9 bilion (RM36.3 bilion) nilai bersih pengasas masing-masing. Pengeluar sarung tangan, yang kebanyakannya berpangkalan di Malaysia, menjadi fokus jualan singkat sebaik saja sekatan ke atasnya dimansuhkan awal tahun ini. Urus niaga pelabur runcit diinspirasikan daripada Reddit yang melonjakkan harga sahamnya pada Januari terbukti hanya bersifat sementara. Hampir AS$2.2 bilion (RM8.9 bilion) 'lenyap' daripada nilai kekayaan pengasas Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai dan keluarganya sejak Oktober lalu. Kekayaan pengasas Supermax Corp, Stanley Thai Kim Sim; pengasas Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon; dan pengasas Kossan Rubber Industries Bhd, Tan Sri Lim Kuang Sia masing-masing merosot lebih daripada AS$1.2 bilion (RM4.85 bilion). Manakala, pengasas Riverstone Holdings Ltd, Wong Teek Son tidak lagi menjadi sebahagian daripada kelab 10 angka. Beberapa firma penjagaan kesihatan dan bioteknologi China yang menghasilkan beberapa bilionair baharu selepas penularan pandemik itu juga terkesan, termasuk Allmed Medical Products Co, oengeluar produk kain kasa dan pelitup pembedahan, serta Guangzhou Wondfo Biotech Co. Sebahagian daripada golongan ultra-kaya ini mengambil peluang daripada ketidaktentuan pasaran. Keluarga Lim daripada Top Glove membeli hampir AS$23 juta (RM92.9 juta) saham sejak awal Disember lalu apabila harga sahamnya jatuh, sekali gus mengukuhkan kawalan mereka ke atas syarikat itu. Sementara itu, pengasas Kossan Rubber membeli kira-kira AS$4.9 juta (RM19.8 juta) saham selepas beliau dan keluarganya meraih keuntungan lebih AS$128 juta (RM517 juta) dengan menjual sebahagian pegangan mereka Ogos lalu. Sumber - BeritaHarian |
ADVERTISEMENT