"Saya kena fikir tanggungjawab sebab apabila orang panggil dan tawarkan kerja, mestilah kena buat bagus-bagus. Tidaklah setakat ambil selepas itu lepas tangan," kata pelakon dan pengacara popular, Sherry Al Hadad yang kini menjadi penyampai radio Era FM bagi segmen pagi bersama Johan, Hanif, Ray atau JoHaRaRy sejak Isnin lalu.
Sherry, 37, atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad berkata, tawaran diterima kerana sudah sampai waktu dia mencuba cabang baru dalam bidang seni. Menurut Sherry, dia berfikir panjang sebelum membuat keputusan menjadi penyampai radio. "Sejak awal kemunculan lagi saya sudah menerima tawaran sebagai penyampai radio. Namun, saya tak ambil sebab masih baru dalam industri hiburan. Saya takut kalau ada kerja tetap dari Isnin hingga Jumaat, sedangkan minat saya masih berlakon.
"Ketika itu saya fikir kalau berada dalam konti, tawaran berlakon kurang sebab orang tahu kita ada tanggungjawab lain. Jadi, mesti tak nak ambil berlakon dan tidak ada masa. Jadi, saya tolak dengan cara baik. Lagipun saya masih nak cuba teroka dulu industri hiburan dengan berlakon dan mengacara," katanya. Sherry berkata, apabila sudah lama dan menyusun kerjaya, tahun ini baru dia dapat semula tawaran sebagai penyampai radio.
|
ADVERTISEMENT