Penyanyi Ashanty, 37, memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi kesempatan hidup meskipun timbul desas-desus mengatakan dia sudah meninggal dunia akibat positif Covid-19.
Ashanty berkata, keadaan dirinya semakin baik dan sudah dibenarkan keluar hospital untuk menjalani proses pemulihan di rumah. "Alhamdulillah, saya sudah pulang dari hospital, semakin baik. Ketika ini, saya masih dalam proses pemulihan sehingga sihat dengan mengasingkan diri di rumah. "Tolong jangan perlekeh Covid-19 apatah lagi yang memiliki gejala seperti saya. Buat semua yang terkena dan dalam keadaan sihat, kamu perlu banyak bersyukur, kerana banyak yang masih berjuang melawan sakitnya untuk tetap hidup. "Terima kasih juga yang menyebarkan berita mengenai saya sehingga dikatakan meninggal dunia. Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan untuk hidup," katanya. Ashanty juga mengakui terkilan dituduh jangkitan itu berpunca daripada sikap degilnya untuk terus bekerja sebelum ini. "Banyak andaian dan berita tidak benar dengan mengatakan saya dijangkiti sebab bekerja. Kalau tidak kerja, bagaimana nak meneruskan kelangsungan hidup? "Disebabkan bergejala, saya berhati-hati, rajin lakukan pemeriksaan, jaga protokol, tapi masih dijangkiti juga. Hakikatnya, penyakit ini sukar untuk dihindari dan wujud dalam kehidupan seharian kita," katanya. Pada 15 Februari lalu, Ashanty dan anak tirinya, Aurel Hermansyah mengesahkan mereka positif wabak berkenaan. Isteri penyanyi Anang Hermansyah itu disahkan positif selepas melakukan ujian saringan selepas mengalami beberapa gejala. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT