|
Pesona bintang jejaka ini mula dikesan ketika masih berada dalam pertandingan pencarian bakat, Hero Remaja 2020. Walaupun sekadar mendapat tempat ketiga, namun tuah menyebelah pelakon, Meerqeen, 20, apabila namanya tersenarai antara bakat baharu yang cukup laris, ketika ini.
Bukan sahaja kencang dari segi tawaran lakonan, malah wajah komersial anak saudara kepada penyanyi popular era 1990-an, Safura Yaacob itu berjaya memikat jenama antarabangsa untuk bekerjasama dengannya. Mula meledak menerusi drama Angkara Cinta, apa yang dikecapi Meerqeen boleh dianggap pencapaian terbaik bagi bakat baharu sepertinya. Namun, ketika namanya meniti puncak populariti, Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam terpalit dengan isu sensasi apabila didakwa suka berfoya-foya, gemar dengan kehidupan malam dan kaki perempuan. "Saya akui, ada yang menuduh saya suka berparti dan bertukar teman wanita. Saya sendiri tidak tahu atas dasar apa mereka melemparkan tuduhan terhadap saya. Tidak dinafikan, saya suka melepak, tetapi kebiasaannya keluar minum kopi dan bertemu rakan-rakan. "Saya bukannya berpeleseran di pusat hiburan dengan dikelilingi ramai wanita. Jujurnya, saya seorang yang sangat mementingkan keluarga. Jika tiada urusan luar, saya lebih suka duduk di rumah. Saya tidak suka tempat bising, jadi macam mana boleh timbul cerita saya kaki parti? "Pesan saya, jangan nilai seseorang daripada sudut luaran sahaja. Jangan mudah melabel saya sebagai budak liar. Kenali saya dahulu, barulah nilai sikap saya. Namun, saya juga bukanlah anti-sosial, cuma, kurang gemar bersosial tidak tentu hala," katanya kepada BH Online. Pun begitu, Meerqeen tidak menafikan sering mendapat mesej peribadi dalam laman sosial daripada peminat wanita yang tanpa segan silu menawarkan diri menjadi kekasih, namun permintaan ditolak dengan cara baik. "Cukup sekadar melayan mereka seperti peminat. Kalau layan berlebihan, bimbang dituduh memberi harapan. Saya tiada masalah berkawan, tetapi saya belum bersedia jika nak ajak bercinta. "Masih banyak impian yang belum dicapai, terutama dari segi kerjaya. Saya mahu memiliki aset sendiri. Jadi, saya perlu kerja keras daripada sekarang," katanya.
|

nanasno replied at 9-3-2021 02:39 PM
nak party macam mana disko sume tutup sebab covid.



ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
1-2-2026 02:57 PM GMT+8 , Processed in 0.155696 second(s), 34 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.