Pelakon Kuna Muzani berasa lega apabila kebanyakan sektor ekonomi negara kini sudah mula dibuka di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) sejak Jumaat lalu.
Ini kerana menurut Kuna atau nama sebenarnya, Tengku Sarina Tengku Muzani, 50, dia sedih mengenangkan nasib rakan-rakan kru produksi yang 'terseksa' untuk meneruskan kehidupan seharian ketika aktiviti penggambaran filem dan drama dihentikan bulan lalu. "Alhamdulillah sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya ada berniaga karipap pusing, syukur laris dan dapat sambutan menggalakkan. "Cumanya, saya lebih kasihan dengan rakan-rakan kru produksi, mereka yang bekerja di belakang tabir ini. "Pendapatan mereka berapa sahajalah, sampaikan ada yang tak mampu untuk beli susu anak, ada pula yang tak boleh bayar sewa rumah sampai dihalau keluar," katanya kepada mStar. Kuna ditemui pada majlis pelancaran koleksi busana raya, 9 Generasi rekaan pereka fesyen Azirun Ramly yang berlangsung di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Selain Kuna, jenama berkenaan turut menampilkan kolaborasi bersama tiga lagi artis tempatan iaitu Ayu Damit, Hafreez Adam dan Rykarl Iskandar. Memahami kesukaran yang dialami rakan-rakan belakang tabir, pelakon drama bersiri Nasi Kerabu Untuk Che Abe ini bersama rakan-rakannya berganding bahu dengan menjalankan misi bantuan untuk golongan yang lebih memerlukan. "Siapa lagi hendak bantu rakan-rakan kita kalau bukan diri kita sendiri? Jadinya, saya kutip duit setiap bulan bersama rakan-rakan artis untuk beli barang dapur dan kemudian diagihkan kepada golongan yang memerlukan. "Dalam masa sama, kami turut sedekah untuk anak yatim dan ibu tunggal serta pelajar universiti. "Sedih saya... yang mana boleh kami boleh bantu, memang kami akan cuba usahakan juga sebaik mungkin untuk golongan-golongan yang terkesan ini," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT