Ratu Elizabeth II menzahirkan kebimbangan dan bersimpati dengan kesukaran dialami Putera Harry dan isteri, Meghan, ketika menempuhi hidup sebagai pasangan diraja. Ia adalah sebagai reaksi kepada dakwaan mengejutkan cucu dan menantunya itu mengenai dakwaan perkauman, menerusi wawancara bersama Oprah Winfrey, Ahad lalu.
"Seluruh keluarga bersedih apabila mengetahui kesukaran dialami dalam beberapa tahun lalu oleh Harry dan Meghan. "Isu dibangkitkan, terutamanya mengenai perkauman, perlu diberi perhatian. Biarpun ada perkara yang diberitahu mungkin berbeza, tetapi ia akan diambil secara serius dan ditangani keluarga secara peribadi. "Harry, Meghan dan Archie akan sentiasa disayangi ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan. Istana Buckingham sebelum ini berdepan desakan untuk memberi reaksi berhubung dakwaan menerusi wawancara dengan Oprah Winfrey pada Ahad itu, yang menyebabkan krisis sejak zaman Puteri Diana, pada 1990-an.
Ia membangkitkan spekulasi mengenai identiti ahli keluarga kanan diraja yang mempersoalkan mengenai warna kulit Archie, sebelum bayi itu lahir. Meghan, yang ibunya berkulit hitam dan bapa berkulit putih, juga secara terbuka bercakap mengenai keinginan untuk membunuh diri, tetapi gagal mendapat sebarang sokongan ketika berada di dalam keluarga diraja. Bapa Harry, Putera Charles, yang juga pewaris takhta enggan melayan pertanyaan wartawan berhubung isu berkenaan, ketika penampilan pertamanya sejak wawancara itu disiarkan. Undian YouGov membabitkan 4,656 orang selepas penyiaran program wawancara itu disiarkan di televisyen United Kingdom (UK) pada Isnin mendapati bahawa hampir 32 peratus berpendapat bahawa pasangan itu dilayan dengan tidak adil. Jumlah sama pula berpendapat sebaliknya. Tetapi, warga tua dikatakan lebih memihak kepada keluarga diraja, menurut undian berkenaan. Wawancara selama dua jam berkenaan disaksikan lebih 17 juta penonton ketika disiarkan menerusi stesen penyiaran CBS, pada malam Ahad. Lebih 11 juta orang menyaksikannya program itu ketika ia disiarkan menerusi ITV di Britain. Harry dan Meghan, mengumumkan menarik diri daripada tugas rasmi sebagai pasangan diraja tahun lalu dan kini menetap di California, bersama anak mereka, Archie. Meghan kini mengandungkan anak kedua. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT