Semakin lama pelakon, Daler Yusuf, 29, semakin mendapat tempat dalam industri seni tanah air. Ramai penonton tertarik melihat kemunculannya sebagai Cef Riz menerusi drama Marry Me Senorita yang ditayangkan di slot Megadrama Astro Ria.
Pelakon berdarah kacukan Uzbekistan di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibunya ini menganggap ia sesuatu yang positif dalam kariernya. "Syukur orang sukakan lakonan saya dalam cerita itu. Nampak macam watak saya seorang antagonis, tapi sebenarnya tidak sangat. "Bagi saya Cef Riz seorang yang baik dan saya sedaya upaya memberikan lakonan terbaik supaya diterima ramai. Saya percaya ramai yang tak sabar nak tahu lanjut pengakhiran cerita, jadi mereka kena ikutinya sehingga episod akhir," katanya.
Daler berkata, dia baru tamat penggambaran Marry Me Senorita dan kini berehat seketika sebelum bekerja untuk projek seterusnya.
"Pada 20 Mac ini saya akan memulakan penggambaran untuk telefilem Vampire Masuk Kampung untuk RTM dan Kak Long Pun Boleh untuk Astro. Ikutkan saya banyak terbabit dengan drama bersiri. "Untuk telefilem boleh dikira setahun hanya dua kali. Saya tak kisah sebenarnya berlakon telefilem atau drama bersiri, tapi saya banyak dapat tawaran berlakon drama bersiri. "Saya sebenarnya suka buat drama bersiri kerana dapat banyak pengalaman dan bercampur dengan pelakon senior serta belajar dengan mereka," katanya.
Menurutnya, dia menyukai suasana di set yang meriah ibarat satu keluarga besar. "Saya suka bercampur ramai orang dan belajar banyak perkara daripada pengarah. Apabila buat drama bersiri, dari segi kewangan saya sudah tahu saya ada pendapatan dalam tempoh dua bulan atau seterusnya. "Penggambaran yang panjang akan bagi pendapatan yang stabil dan kita tahu ada duit di situ. Sejak berlakon bermula pada 2017, saya sudah berlakon lebih 10 drama bersiri. "Saya berehat seketika dari lakonan apabila balik ke Uzbekistan pada 2019 kerana ada urusan keluarga. Apabila balik ke sini tahun lalu, langsung tak dapat berlakon kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Muncul dalam beberapa drama antaranya Suami Mat Salih Celup, Titian Cinta dan Pengantin Dari Semantan, Daler mengakui penguasaan bahasa Melayunya belum memuaskan. "Saya masih belajar menguasai bahasa Melayu. Sekarang dah makin senang untuk bertutur, tapi masih ada pelat. Saya kena ambil masa sikit lagi untuk betul-betul mahir. "Seperkara lagi, saya beruntung kerana pengarah memahami kekurangan saya. Jadi, saya sering diberikan watak individu yang berdarah campuran. Secara tak langsung tak nampak ketara sangat kelemahan saya di mata penonton," katanya yang memberitahu jadualnya sudah padat sehingga Mei ini. Selain berlakon, Daler yang juga pernah membintangi drama Tuan Anas Mikael turut dilantik Duta Pelancongan Uzbekistan sejak 2018.
"Saya bertanggungjawab mempromosikan Uzbekistan kepada masyarakat luar. Saya boleh bantu mana-mana pihak termasuk syarikat produksi Malaysia yang mahu menjalani penggambaran di sana. "Sekiranya ada apa-apa acara dari Uzbekistan di sini pun, saya kena hadirkan diri," katanya. Dia yang mempunyai perniagaan kek secara dalam talian turut berhasrat membuka kedai selepas ini.
"Kedai secara dalam talian ini sudah beroperasi sejak setahun lalu. Resipinya adalah daripada arwah nenek saya. "Memandangkan sambutannya bagus, saya bercadang untuk membuka kedai tetap di lokasi yang sesuai,"katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|