Sudah hampir sebulan tidur Zuki tidak lena dan setiap kali terjaga pasti disebabkan terdengar bunyi seperti seseorang menyelongkar almarinya. Apabila dia membuka lampu tidur di tepi katilnya, tiada pula sesiapa di dalam bilik namun dalam keadaan mamai Zuki tidak mengesyaki apa-apa.
Sehinggalah pada suatu pagi, satu rumah menjadi kecoh apabila ibu mengadu barang kemasnya lesap. Usaha mencari barang kemas di semua sudut dalam rumah tidak berjaya. Zuki memberitahu dia dan keluarga berasa pelik namun langsung tidak terfikir bahawa ia kerja-kerja benda halus yang menggangu keluarganya. "Memang buntu mak saya cari rantai emas kesayangannya itu... Ia rantai pemberian ayah sebelum meninggal dunia.
"Sebab itu mak sedih sangat. Dia sentiasa menyimpan barang kemasnya dengan baik sebab itu kami pelik bagaimana ia boleh hilang," katanya. Bagaimanapun pada satu malam, Zuki tidur lewat kerana perlu menyiapkan tugasan yang hendak dihantar keesokan harinya. Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul dua pagi dan semua ahli keluarga lain lena diulit mimpi. "Dalam leka siapkan kerja, saya rasa nak terkencing dan ketika keluar dari bilik, saya terdengar bunyi bising di bilik mak. Bunyi macam orang tengah geledah cari barang. "Kebetulan pintu bilik mak terbuka sebab dia nak bagi cahaya lampu dari luar masuk kerana dia takut tidur dalam gelap. "Saya pelik dengan bunyi itu tapi saya syak mak saya belum tidur sebab mencari rantai emasnya yang hilang," ceritanya. Ketika dia menolak pintu bilik orang tuanya itu, Zuki memberitahu dia nampak ibunya sedang nyenyak tidur namun bunyi orang mencari barang semakin jelas kedengaran. Dalam kesamaran cahaya lampu dari dapur, Zuki terlihat susuk tubuh seperti budak kecil sedang mencari sesuatu. "Dalam samar-samar, mata saya tepat memandang makhluk itu, apabila ia menyedari kehadiran saya, ia pantas melarikan diri... hilang sekelip mata," katanya. Selepas ternampak makluk itu, Zuki seolah-olah terpukau dan tidak sedarkan diri sehinggalah dikejutkan ibunya berkali-kali. "Mak tanya apa sudah berlaku dan apabila saya ceritakan semuanya, mak seolah-olah sudah menjangka kejadian pelik yang berlaku di dalam rumah mereka sejak akhir-akhir ini. "Malah kata mak, dia mengesyaki mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya lalu menggunakan amalan syirik untuk menyusahkan kehidupan mereka sekeluarga. Akibat kejadian itu, Zuki tergerak hati untuk memeriksa wangnya yang disimpan dalam almari namun sayang sekali, ia turut lesap. "Walaupun sedih dengan peristiwa itu tapi saya anggap ia bukan rezeki saya... Syukur selepas makhluk itu terkantoi sedang selongkar almari mak, tiada lagi gangguan atau barang yang hilang di rumah kami. "Barangkali kerana sudah 'kantoi' ia takut untuk kembali lagi," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
|
bintangct: tetiber terigt bacokkkk... bacokkkkkk hahahah
ADVERTISEMENT