Selepas aktif menyanyi dan berlakon, kini nama Datuk Fazley Yaakob, 43, cukup menjadi perhatian dalam bidang kulinari. Malah, beliau turut memiliki beberapa restoran.
Kecintaan mendalam pada sajian makanan tradisional, air tangan bapa empat anak ini sememangnya menepati cita rasa pelanggan yang menikmati menu masakannya.
Justeru, sempena Ramadan ini untuk orang ramai yang tercari-cari lokasi berbuka puasa dengan hidangan 'ala kampung', bolehlah berkunjung ke Hotel Four Seasons Kuala Lumpur. Fazley berkata, pelbagai menu enak tradisional disediakannya untuk memberi peluang pengunjung mengimbas semula kenangan berbuka puasa dengan ibu bapa dan keluarga di kampung. "Saya memperkenalkan lagi Sajian Merentasi Zaman yang mana bermacam-macam hidangan tradisional dari semua negeri dalam Malaysia ada disediakan untuk dinikmati pengunjung. "Ia lebih kepada mengingati kenangan zaman kanak-kanak bagi pelanggan seusia saya terhadap kampung halaman. Untuk saya, hingga kini masih merinduinya dan tidak mampu dilupakan. "Sebagai lelaki yang pernah membesar di kampung, saya pernah bermain dengan pacat serta lintah, berlari-lari di sawah, tangkap ikan di parit, mencari kayu api dan sebagainya. "Kenangan zaman kecil itu sampai sekarang masih saya ingat dan percaya pasti ramai mereka yang seusia saya ada memori indah kanak-kanak masing-masing. Ditambah, sajian enak 'ala kampung' juga amat menyelerakan," katanya.
Menurut Fazley, walaupun perubahan zaman kini bergerak maju dan usia juga kian meningkat, namun memori ketika kanak-kanak akan terus kekal sampai bila-bila. Katanya, sekalipun masa tidak boleh diundur semula, namun mengingati kenangan itu sudah memadai. Berbicara mengenai kerjaya seninya, Fazley berkata, ia masih tidak dilupakan dan dia tetap ada perancangan untuk menghasilkan dan muncul dengan lagu baharu untuk peminat. "Saya sebenarnya ada merancang untuk merakamkan single baru tetapi kini jadual kerja agak padat dan saya perlu masa untuk mengaturkannya semua. Insya-Allah, jika tiada aral saya akan laksanakan impian itu. "Selain itu, saya juga akan terbabit dengan penggambaran beberapa program masakan untuk stesen TV. Buat masa ini, satu program sudah siap dan berbaki empat lagi untuk penggambarannya dilakukan," katanya.
Fazley berkata, dia juga ada menerima tawaran berlakon drama, namun terpaksa ditolak. Katanya, dia tidak mampu memberikan komitmen dan enggan menyusahkan pihak produksi nanti. "Apabila ada tawaran berlakon, berminatlah juga. Tapi, sedar saya tidak dapat memberikan komitmen sebaiknya yang dituntut, maka lebih baik lepaskan. Saya pun takkan membebankan orang lain di lokasi. "Jika masih ada rezeki berlakon akan datang dan kena pada masa, mungkin saya terima. Tapi, sekarang memang tak dapat kerana terlalu banyak kerja yang perlu saya uruskan dahulu," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|