"Saya anggap ini dugaan ketika bisnes baru nak naik." Demikian kata seorang wanita mengulas mengenai kejadian di mana barangan dihantar pekerja syarikat kurier ke halaman rumahnya disamun.
Kejadian disedari sebaik dia tiba di rumahnya dari kedai dan menghantar anaknya ke rumah pengasuh. "Pagi itu saya keluar lebih awal dari suami untuk hantar anak ke rumah pengasuh. Selepas itu saya singgah sebentar ke kedai. Sebaik sampai je dekat pagar rumah, saya dah nampak dari jauh kotak barang pesanan saya dah berselerak kena kopak. "Selalunya kami memang tak tutup pintu pagar, hanya kunci pintu dan gril rumah sahaja. Tapi nak dijadikan cerita, hari tu suami kalut dan terlupa juga nak kunci gril dan pintu. "Mujurlah selepas diperiksa, tiada apa barangan dalam rumah termasuk stok produk yang hilang. Hanya barang pesanan saya yang diletakkan di luar pintu saja lesap," kata Siti Zulaikha Zuki yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang kepada mStar.
Tambahnya, barangan dalam kotak tersebut adalah barangan berharga yang dibeli secara dalam talian dan bertujuan untuk memberi ganjaran kepada ejen-ejennya. "Kalau ikutkan ini bukan kali pertama saya order barang seperti itu secara online. Cuma kali ini benda dah nak terjadi... dan saya anggap ia bukan rezeki untuk saya beri kepada ejen-ejen. "Rumah saya memang tak kunci pagar sebab selalunya ada empat atau lima trip penghantaran daripada syarikat kurier. Pagi itu mungkin trip paling awal. Biasanya saya akan dapat makluman tapi tak ada pula makluman pagi tu. Kalau ada, mesti saya dah standby atau pesan kepada suami untuk tolong ambilkan," ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini. Menurut wanita berusia 29 tahun itu, dia membuat perkongian di TikTok sekadar untuk memberi mesej kepada netizen agar tidak cuai untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku kepada mereka. Namun tanpa disangka, perkongsian tersebut mengundang kecaman apabila rata-rtikata menyifatkan ia sekadar lakonan untuk konten serta mahu meraih publisiti murahan, tambahan pula dia tidak membuat laporan polis. "Rumah saya tiada kamera litar tertutup (CCTV). Sebab itu saya rekod guna handphone bila sedar. Pertamanya nak tunjuk dekat suami sebagai pengajaran agar tak cuai lagi. Keduanya, sebagai mesej kepada netizen juga agar lebih hati-hati. "Bab tak lapor polis tu, sebenarnya keputusan tersebut selepas saya buat pertimbangan daripada pelbagai aspek. Rumah saya memang ejen selalu keluar masuk untuk ambil stok sebab saya berniaga dari rumah lagi. "Nanti apa pula perasaan ejen saya seolah-olah mereka pula disyaki... terus tak berani ke rumah saya lagi. Mesti ia akan jejaskan bisnes saya yang baru bertapak tiga bulan ni. "Kalau nak cakap konten, pada saya perkara ini adalah realiti yang berlaku dalam kehidupan. Saya kongsi apa yang menimpa diri saya sebagai pengajaran bersama. Mungkin mereka tak alami, sebab tu komen macam tu. Tapi saya tak ambil hati pun, saya anggap ini dugaan dan bukan rezeki," katanya lagi. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT