San Salvador: Seorang peluncur profesional mati disambar petir ketika sedang berlatih untuk kejohanan sukan paling berprestij, Olimpik. Portal Mirror melaporkan, Katherine Diaz disambar petir selepas masuk ke dalam air untuk sesi latihan di Pantai El Tunco, El Savador.
Atlet berusia 22 tahun itu dilaporkan tampil dalam sesi pemilihan untuk melayakkan diri mewakili negaranya dalam Olimpik Tokyo. Diaz dilaporkan sedang berenang ke kawasan khusus untuk meluncur kira-kira jam 5 petang waktu tempatan sebelum disambar petir. Rakan dan pengunjung pantai yang melihat kejadian itu kemudian membantu Diaz dan membawanya ke hospital.
Bagaimanapun, News AU melaporkan mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat. Kakak mangsa, Bamba Diaz menyatakan dia dan keluarganya begitu merindui adiknya dan akan terus mengenangnya. "Adik, kami akan terus mengingatimu. Tuhan memutuskan untuk membawamu. Kami merinduimu. Cinta kamu selamanya," tulis Bamba. Presiden Institut Olahraga El Salvador, Yamil Bukele menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan yang kehilangan Diaz. "Saya baru mendengar khabar kematiannya. Saya mengucapkan takziah. Semoga rohnya tenang di sana," jelas Bukele. Diaz bekerja sebagai cef pada sebelah malam dan mewakili El Salvador dalam kejohanan luncur setiap tahun. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT