Merendah diri. Itu pandangan pertama menggam-barkan karakter pelakon baharu ini. Harap sikap baik itu kekal sampai bila-bila. Biarpun industri seni dihujani pelapis baharu, Sefik Khair tidak memandang perkara itu sebagai satu ‘saingan’. Bahkan dia percaya pada bakat sendiri dan sedar setiap pelakon mestilah hadir dengan pakej.
Kongsi Sefik yang mula dikenali selepas membintangi drama Mencari Maradhatillah dan Nur 2 itu, juga mula belajar cara membawa diri dan menjaga tingkah laku. “Selain itu, kenali kekuatan dan kekurangan diri sendiri. Sentiasa bersedia untuk belajar, merendah diri dan menghargai setiap peluang yang diberikan.
“Antara lain kena pandai jaga keterampilan diri. Penjagaan diri pun pekerjaan juga, seperti mana mendapatkan bentuk tubuh badan untuk tuntutan watak. “Tambahan di zaman media sosial, kena ambil tahu dan aktif untuk perkembangan karier seni,” jelasnya yang menjadikan Shaheizy Sam sebagai idolanya.
Antara drama lain seperti Kiblat Yang Hilang, Skuad JPJ, Rindu Terlarang dan yang sedang bersiaran Hello Jangan Tapau Cintaku. Menyentuh mengenai populariti, Sefik Khair atau nama lengkapnya Ahmad Syafiq Khairul Anuar, 29, mengakui tanda aras itu penting untuk perkembangan graf seni lakonannya.
“Tidak dinafikan populariti penting untuk perkembangan karier lakonan. Pula dalam zaman media sosial, itu antara strategi untuk pendedahan lebih meluas. “Harap satu hari orang dapat kenali saya dan percaya pada bakat saya,” luahnya. Jika diimbas pembabitan awal, Sefik sebenarnya sudah terjun ke bidang lakonan ini sejak enam tahun lalu, namun berehat seketika demi percaturan yang lebih baik untuk masa hadapan.
“Kalau teruskan industri juga, saya mungkin tidak dikenali atau sebaliknya. Ketika itu saya berusia 23 tahun, penampilan pun tidak macam sekarang. “Jadi saya perkemaskan penampilan diri dengan menyertai kelas dan pertandingan peragaan. Kemudian masuk kelas lakonan untuk mantapkan lagi apa yang kurang.
“Tidak mahu bakat lakonan saya mendatar saja. Sebabnya akan ada orang lain yang lebih bagus. Jadi, memang tiada penyesalan selepas pelbagai usaha dan pelaburan saya lakukan untuk diri sendiri,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|