![]() Harga barang makanan terutama barangan basah di beberapa negeri didapati meningkat dalam tempoh dua hari pertama 2014 ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar di seluruh negara hari ini mendapati berlaku peningkatan harga barangan terutama cili merah tempatan, bawang merah besar dan ikan kembung dari 70 sen hingga RM6. Bagaimanapun, tiada kenaikan ketara dikesan di Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan Johor apabila harga barangan tersebut hari ini dan semalam masih pada harga sama berbanding 2013. Di ibu negara, sebuah pasar raya di Bandar Sri Permaisuri di sini didapati menjual cili merah tempatan dengan harga RM9.99 sekilogram berbanding RM6.99 sebelum ini manakala ikan kembung dijual dengan harga RM16.90 berbanding RM14.90 sekilogram.
Tinjauan di Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit pula mendapati harga bawang merah besar berharga sekitar RM4 hingga RM4.20 sekilogram berbanding RM3.50 iaitu harga standard bagi pasar-pasar basah sebelum ini. Apa yang mengejutkan, cili merah tempatan yang lazimnya berharga sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram, naik mendadak mencecah RM12 di kebanyakan pasar atau gerai jualan. Para peniaga juga dilihat cuba mengaburi tindakan menaikkan harga tersebut dengan menjual cili berkenaan pada kuantiti 500 gram pada harga RM6 iaitu sama dengan harga bagi satu kilogram barang keperluan tersebut sebelum ini. Dalam pada itu, harga teh tarik dan roti canai masih berada pada tahap berpatutan dengan kebanyakan restoran menjual sekitar RM1.40 hingga RM1.50 dan RM1 hingga RM1.20. Di KUALA TERENGGANU, harga barangan keperluan harian di beberapa pasar dan kedai runcit sekitar bandar raya ini mulai meningkat kesan daripada pihak pembekal dan pengeluar beransur-ansur menaikkan harga. Menurut para peniaga, alasan utama pembekal ialah kenaikan kos pihak pengeluar termasuk pengangkutan manakala sesetengahnya naik harga kerana bekalan agak terhad. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga cili meningkat kepada RM10 hingga RM15 sekilogram berbanding RM8 dan RM9 sebelum ini. Bawang besar pula dijual dalam lingkungan RM4 hingga RM4.50 yang lazimnya boleh dibeli dengan harga dalam lingkungan sekitar RM3 manakala ikan kembung, antara RM10 dan RM15. Salah seorang peniaga, Ramli Yaacob, 44, berkata, mereka terkejut selepas pembekal menaikkan harga bekalan secara mendadak dan mereka tidak mempunyai pilihan selain menjual pada harga lebih mahal. "Melihat kepada perkembangan ini, ada kemungkinan berlakunya kenaikan lagi pada harga sayur-sayuran dan barangan lain terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti," katanya ketika ditemui hari ini. Di KUANTAN, harga barangan terutama ikan dilaporkan meningkat tetapi dikaitkan dengan faktor musim tengkujuh yang melanda kawasan pantai timur ketika ini. Tinjauan mendapati, harga ikan kembung dijual pada harga berbeza iaitu antara RM14 dan RM15 berbanding RM9 hingga RM10 sekilogram manakala harga bawang merah pula antara RM2 hingga RM4 sekilogram. Bagi cili merah pula, beberapa tempat termasuk Pasar Besar Kuantan menjual dengan harga RM8 sekilogram. Dalam pada itu, di Sarawak, keadaan cuaca tidak menentu dan banjir di negeri ini mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran dan ikan. Tinjauan di beberapa pasar di sekitar Serian dan Kuching hari ini mendapati, harga sayur-sayuran dan ikan serta beberapa barang keperluan harian lain telah naik mendadak berbanding sebelum ini. Sebelum ini, sayur-sayuran dijual RM3 hingga RM3.50 sekilogram namun dinaikkan RM6.50 hingga RM7 sekilogram. Kedatangan tahun baharu menyaksikan harga ikan kembung naik kira-kira RM2 daripada harga yang dijual sebelum ini. Situasi sama juga berlaku di ALOR SETAR, Kedah apabila harga barang keperluan harian terutama barang basah di negeri ini seperti ikan, cili merah dan beberapa jenis sayuran berlaku sedikit kenaikan. Tinjauan di beberapa pasar mendapati, harga ikan kembung saiz sederhana mencecah sehingga RM9 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini. Ikan kembung bersaiz kecil dan selayang dijual sehingga RM7 sekilogram, peningkatan RM2 hingga RM3. Kebanyakan peniaga memberi alasan masalah kekurangan bekalan menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barang tersebut. Dalam pada itu, beberapa negeri lain seperti Perak, Sabah, Kelantan dan Negeri Sembilan menyaksikan tiada kenaikan ketara berlaku. |
lauk
ADVERTISEMENT