Wanna Ali menghormati permintaan suaminya yang membataskannya untuk melakonkan watak bersetuhan yang berlebihan.
Wanna, 28, berkata suaminya, Khairil Amri Khalid juga tidak menghalangnya untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon walaupun kini sudah bertukar status.
"Dia tahu sebelum ini pun saya sibuk. Dia pun kalau boleh nak tengok saya sibuk dengan hidup saya. Kalau duduk rumah tak buat apa pun, jadi macam 'blur'.
"Saya rasa, setiap suami yang sayangkan isteri dan menjaga keselamatan isterinya, akan buat seperti mana suami saya juga.
"Suami saya tak kisah saya bekerja, cuma jangan watak yang bersentuhan berlebihan. Saya pun isteri dia. Jadi, saya sangat memahami," katanya kepada Harian Metro.
Tambah Wanna, dia juga akan memilih skrip dengan jalan cerita yang mengangkat kekuatan wanita di samping watak-watak yang lebih sesuai.
"Rancangan saya, saya akan ambil tawaran yang jalan ceritanya sesuai. Sebelum ini, saya terima sahaja apa-apa tawaran lakonan sebab ini karier saya.
"Tapi, sekarang saya rasa akan memilih dengan berhati-hati watak yang saya nak bawakan. Saya tak mahu bawa watak yang terlalu merendahkan wanita. Contohnya, watak wanita simpanan, saya tak mahu buat.
"Saya rasa, saya akan ambil watak yang ada 'kuasa wanita' dan saya rasa kuat bila bawakan. Saya rasa, saya akan lebih bijak memilih. Kalau karya seram dan sebagainya, okay lagi," katanya.
Wanna berumah tangga dengan Khairil yang juga anak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 9 Februari 2025.
Wanna bakal muncul dalam drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz 2 yang akan ditayangkan bermula 27 Februari ini di slot Akasia TV3.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|