CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CariDotMy Portal Portal Utama E-Dagang Lihat artikel

Bilangan penganggur di Malaysia terus berkurangan - DOSM

11-3-2025 04:29 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 2110| Komen: 0|Original author: tatod

images.jpg


KUALA LUMPUR: Bilangan penganggur di Malaysia berada dalam trend menurun apabila berkurang kepada 533,800 orang pada Januari 2025, merekodkan kadar pengangguran 3.1 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada Januari 2025, pasaran buruh negara berada dalam trend peningkatan, mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam kedudukan ekonomi Malaysia walaupun terdapat beberapa cabaran dalam perdagangan dan inflasi.

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Januari 2025 terus bertambah, meningkat sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.22 juta orang.

"Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.6 peratus seperti bulan sebelumnya. Trend positif dalam tenaga buruh ini adalah didorong oleh peningkatan dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, bilangan penduduk bekerja pada Januari 2025 terus bertambah, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus untuk mencapai 16.68 juta orang.

Sementara itu, katanya bilangan penganggur turun sebanyak 0.9 peratus kepada 533,800 orang pada bulan sama, berbanding 538,500 orang pada Disember 2024.

"Kadar pengangguran kekal pada 3.1 peratus seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir menjelaskan bahawa pada Januari 2025, kategori pekerja, yang merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 12.56 juta orang.

Katanya, kategori penduduk bekerja sendiri juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 3.11 juta orang.

"Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan yang stabil, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit, dan aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

"Begitu juga, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan & pengkuarian turut menunjukkan pertumbuhan guna tenaga yang positif pada Januari 2025," katanya.

Beliau berkata, 79.4 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Sementara itu, katanya penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, menurun sebanyak 2.3 peratus kepada 110,200 orang.

"Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.3 peratus, merekodkan 299,300 penganggur belia pada Januari 2025.

"Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pada bulan itu kekal pada 6.3 peratus, dengan seramai 402,400 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya," katanya.

Mohd Uzir berkata, kedudukan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan memberi impak positif kepada pasaran buruh negara.

Katanya, situasi ini antaranya adalah disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, inisiatif-inisiatif kerajaan, peningkatan aktiviti pelancongan, serta aktiviti pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur dan sektor utama.

Selain itu, menurutnya peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dijangka turut memberi kesan yang baik terhadap prestasi pasaran buruh negara dengan meningkatkan pelaburan, pembangunan luar bandar, kemahiran tenaga kerja, dan sektor halal.

"Oleh itu, selari dengan prestasi ekonomi negara yang semakin memberangsangkan serta pertumbuhan kukuh dalam sektor utama ekonomi negara, pasaran buruh negara dijangka akan terus berada pada momentum pertumbuhan yang stabil dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, sementara pengangguran semakin menurun," katanya.


Sumber: BH Online


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan
| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-5-2025 03:09 AM GMT+8 , Processed in 0.027468 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top