Seorang wanita hamil kehilangan bayi dalam kandungan gara-gara sikap suami terlalu mementingkan diri sendiri.
Kisah menyayat hati ini diceritakan oleh seorang pegawai perubatan di laman sosial, melibatkan wanita tersebut ketika usia kandungannya 32 minggu.
Mengimbas kembali kejadian dipercayai berlaku di Indonesia itu, doktor berkenaan berkata, wanita tersebut hadir ke klinik membuat pemeriksaan kesihatan.
Dia didapati mengalami komplikasi kesihatan dan tekanan darahnya yang tinggi boleh menyebabkan sawan.
Dalam keadaan cemas itu, wanita tersebut perlu segera melahirkan bayi dalam kandungan walaupun dan khidmat bidan diperlukan untuk mengendalikannya.
Namun, pihak hospital perlu mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu untuk kes kehamilan, sebelum pasukan perubatan menjalankan proses bersalin.
Malangnya, si suami yang dihubungi melalui telefon memaklumkan bahawa dia sibuk selain memberikan bermacam alasan.
Malah ketika berita cemas mengenai isteri dikhabarkan kepadanya, dia mengatakan hanya boleh ke pusat kesihatan dalam masa kira-kira dua jam.
Tiba di klinik, lelaki itu tetap dengan pendirian untuk membawa pulang isterinya dengan alasan wanita itu nampak baik-baik sahaja selain perlu memasak untuk sahur pertama.
"Malam nanti adalah puasa pertama. Saya tak mahu lepaskan momen istimewa ini. Isteri saya sepatutnya pulang malam ini.
"Isteri saya kena masak untuk puasa. Ada anak kami yang lain kena jaga juga.
"Kalau kami pergi hospital sekarang, macam mana dengan sahur kami nanti? Harap maklum doktor. Isteri saya sihat," kata lelaki itu tanpa memikirkan nyawa isterinya dan anak dalam kandungan.
Mahu pihak doktor memahami keadaannya, si suami dengan yakin menjelaskan dia akan bertanggungjawab terhadap isterinya dan anak yang bakal lahir.
"Dia isteri saya, yang dalam perutnya juga anak saya," tegasnya.
Keesokan hari, doktor dan bidan di pusat kesihatan menunggu kedatangan wanita hamil itu.
"Dah bertukar syif tapi masih tak datang. Ibu berkenaan disangka dibawa ke tempat lain untuk bersalin," kata doktor itu.
Namun alangkah terkejutnya apabila wanita itu muncul di pusat kesihatan tiga hari kemudian dengan keadaan perutnya semakin membesar tetapi masih belum bersalin.
"Setelah diperiksa, tekanan darah masih tinggi. Denyutan jantung janin juga tidak dapat dikesan. Ini bermakna janinnya mati dalam kandungan," katanya.
Menurut pegawai itu, disebabkan sikap si suami yang pentingkan diri sendiri, nyawa isteri dan anak terancam sehingga akhirnya mengorbankan bayi dalam kandungan.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|