KUALA LUMPUR - Syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) menegaskan rancangan pembinaan masjid di Jalan Masjid India, di sini tidak akan melibatkan sebarang tindakan perobohan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di kawasan tersebut. Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporatnya, Aiman Darzuki berkata, perbincangan dengan pihak kuil telah dijalankan secara berterusan sejak 2009 bagi mencapai penyelesaian terbaik bagi menjaga kepentingan semua pihak. "Perbincangan ini sudah berlangsung lebih 10 tahun dan kita tidak pernah membawa perkara ini ke mahkamah kerana percaya kepada pendekatan harmoni dan situasi menang-menang," katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Khamis. Aiman memberitahu, usaha yang dilakukan Jakel pada masa ini adalah berkaitan pemindahan kuil ke lokasi baharu dengan bantuan daripada kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Tidak ada istilah merobohkan kuil, sebaliknya kita menunggu proses pemindahan dan persetujuan daripada pihak kuil tersebut," ujar beliau. Mengulas lanjut, Aiman memberitahu, tanah bagi pembangunan masjid itu adalah milik penuh syarikat sejak 2012 selepas perjanjian pembelian dengan DBKL. Ujar beliau, tanah itu diwakafkan oleh pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat. "Jakel telah memperoleh kelulusan pembangunan pada 2020 dan pelan bangunan pada 2021 untuk pembinaan masjid tiga tingkat dengan sub-basement. "Namun, pembinaan masih ditangguhkan bagi menghormati kedudukan kuil yang masih beroperasi di lokasi tersebut," jelas beliau. Menjawab mengenai majlis pecah tanah yang bakal diadakan pada 27 Mac ini, Aiman memberitahu, acara itu diadakan sebagai simbolik kepada komitmen Jakel terhadap pembinaan masjid, selaras dengan niat wakaf pengasas syarikat. "Ia diadakan jauh dari lokasi kuil, bukan tanda kami mula bina sekarang. Kami masih tunggu proses pemindahan (kuil) selesai, malah wakil kuil juga dijemput hadir," jelasnya. Tegas beliau, kerajaan melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut memainkan peranan dalam mencari penyelesaian terbaik. "Sehingga kini, kita belum mendirikan apa-apa bangunan kerana kita mahu isu pemindahan kuil selesai terlebih dahulu," katanya. Ketua Pegawai Kewangan Jakel Group, Datuk Syed Nashrul Fahmi Syed Mahmud berkata, sehingga kini proses perbincangan dengan pihak kuil masih berjalan dan pihak DBKL telah mencadangkan beberapa lokasi alternatif. "Tidak wujud istilah merobohkan kuil, sebaliknya, komitmen besar telah diberikan oleh pihak DBKL dan syarikat untuk menyediakan lokasi paling sesuai buat pihak kuil," katanya. Beliau menjelaskan, beberapa cadangan lokasi telah dikemukakan oleh pihak DBKL kepada pihak kuil. "Saya difahamkan pihak kuil masih belum memberi persetujuan terhadap lokasi pemindahan yang dicadangkan. "Ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan dan syarikat sangat prihatin dan mendengar keperluan pihak kuil dalam memastikan proses ini berjalan lancar,” katanya lagi. Bagaimanapun, beliau kesal dengan dakwaan naratif pihak tertentu seolah-olah kuil berkenaan akan dirobohkan tanpa perbincangan. "Ini tidak benar sama sekali kerana sejak awal, pendekatan kita adalah mencari penyelesaian terbaik secara harmoni dan saling menghormati," tambah beliau. Sumber : Sinar Harian |
ADVERTISEMENT