KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang adalah langkah terakhir yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) jika ibu bapa gagal mematuhi Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, yang akan dilaksanakan kelak.
Menteri PendidIkan, Fadhlina Sidek, berkata melalui pelaksanaan dasar di bawah pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang akan dibentang pada sesi Dewan Rakyat Jun ini, KPM akan memberi tumpuan kepada proses advokasi, kesedaran dan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan fasiliti dan akses pendidikan terlebih dahulu.
Selain itu, KPM juga akan memastikan semua bantuan yang disediakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sampai kepada murid.
"Kita ambil iktibar daripada pengalaman menguruskan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Rendah. Adakah tidak ada undang-undang? Ada.
"Adakah ibu bapa yang didakwa? Tidak ada dan tidak pernah kerana kita memulakan proses paling penting dalam masyarakat itu dulu.
"Kita pastikan semua ini berjalan dulu, barulah undang-undang itu mengambil tempat jika ada ada ruang yang tidak dicapai dan dipenuhi, ada kecuaian misalnya walaupun kita sudah laksanakan semua proses itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Media Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025: Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari Pendidikan Rendah hingga Menengah di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Azman Adnan dan pengarang serta wakil agensi media, termasuk Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil.
Fadhlina berkata, berdasarkan pengalaman KPM dan beliau sendiri menziarahi rumah murid yang tidak hadir ke sekolah di bawah program Ziarah Cakna, masih ada ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran mengenai kepentingan persekolahan bagi anak mereka.
"Kita masih memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan sebab itu kita letak undang-undang itu yang terakhir tapi proses untuk pastikan kesedaran, tanggungjawab dan komitmen kerajaan ini benar-benar dilaksanakan," katanya.
Katanya, melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah, KPM komited untuk meningkatkan kadar penyertaan enrolmen murid ke sekolah menengah, yang kini berada pada tahap 94.86 peratus, melepasi enrolmen sejagat iaitu 95 peratus.
Sementara itu, Azman berkata, mengikut RUU itu nanti, jika dasar berkenaan tidak dipatuhi, ibu bapa/penjaga boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Bagaimanapun, terdapat siri atau proses yang kita laksanakan dahulu oleh KPM.
"Kita akan lihat punca utama kenapa anak-anak ini tidak hadir ke sekolah dan semua faktor yang perlu dikenal pasti terlebih dahulu," katanya.
Azman menjelaskan, pindaan Akta 550 akan membabitkan dua pindaan, iaitu Seksyen 2 (Fasal 2) dengan memperluas skop pendidikan wajib merangkumi pendidikan rendah dan menengah serta Seksyen 29A (Fasal 3) mengenai kewajipan dan tanggungjawab ibu bapa/penjaga memastikan kanak-kanak warganegara yang tinggal di Malaysia mengikuti pendidikan wajib.
Selain itu, RUU itu akan turut memasukkan satu peruntukan baharu, iaitu menjelaskan kewajipan ibu bapa/penjaga memastikan kanak-kanak warganegara yang tinggal di Malaysia mengikuti pendidikan wajib.
Pada majlis itu, Fadhlina turut meluangkan masa berbuka puasa bersama warga Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.
Sumber: BH Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|