NILAI: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meminta golongan pendidik supaya tidak menjadikan pelajar terutama murid sekolah rendah, sebagai bahan kandungan dalam laman media sosial masing-masing. Beliau berkata, ini kerana kandungan sedemikian boleh disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab, termasuk bagi tujuan jenayah seksual kanak-kanak. "Sekiranya guru itu adalah seorang pempengaruh, carilah kandungan lain, kerana akan timbul beberapa isu terhadap keselamatan, data peribadi dan sebagainya jika mendedahkan wajah atau nama murid ke dalam media sosial mereka. "Ia mungkin membolehkan kanak-kanak itu menjadi mangsa jenayah seksual, pengantunan kanak-kanak atau pengantunan seksual... kita nak mengelak jenayah dan masalah ini berlaku. Jadi, guru jangan benarkan imej pelajar mereka dimasukkan dalam media sosial," katanya kepada Bernama.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri Bicara Eksekutif MADANI: Kepimpinan Pendidikan Memaknai Agenda Malaysia MADANI yang disertai lebih 300 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam perkara berkenaan dan menjadikan ia fokus utama untuk memastikan internet selamat digunakan. "Kementerian menyediakan internet di semua sekolah. Ada kira-kira 4,000 sekolah disasarkan untuk projek titik kehadiran... apa guna ada internet murah, laju dan meluas tetapi tidak digunakan dengan selamat. "Kita mahu ia selamat digunakan, terutama bagi kanak-kanak dan keluarga," katanya. Beliau berkata, Kempen Jelajah Internet Selamat dianjurkan dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional, serta dirancang membabitkan 10,000 sekolah seluruh negara yang dijangka bermula dengan sekolah di sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri nanti. Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata, guru wajar memahami trend terkini membabitkan kandungan kanak-kanak dalam media sosial supaya generasi itu dapat dikawal serta diberikan penjelasan, sekali gus tidak kecanduan dengan pengisian negatif di internet. "Media sosial tidak sesuai untuk kanak-kanak. Menerusi jelajah itu nanti, mesej yang saya mahu sampaikan kepada guru sekolah rendah ialah agar mereka menghentikan penggunaan TikTok untuk membuat kandungan membabitkan pelajar. "Dalam media sosial, mereka merakam serta menyimpan data dan apabila kita memasukkan kandungan, sebenarnya kita telah menyerahkan maklumat diri serta keadaan sekeliling kepada pelayan dan platform yang dimiliki kebanyakan negara asing. "Itulah sebab kita perlu berwaspada dan tahu apa kandungan yang sesuai untuk dimasukkan dalam media sosial," katanya. Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT