Kulim: Seorang lelaki memberi alasan datang ke rumah kenalan wanitanya hanya untuk membantu membawa kereta wanita itu untuk dibaiki ketika dicekup berkhalwat, awal pagi tadi.
Lelaki berusia 46 tahun yang berstatus suami orang itu dicekup oleh pegawai masjid terlebih dahulu di rumah wanita berkenaan di Padang Serai, di sini, pada 2.05 pagi.
Pasangan itu kemudian diserahkan kepada pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang tiba tidak lama kemudian.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu rumah berkenaan dibuka lelaki terbabit yang ketika itu hanya memakai seluar tanpa baju.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah itu mendapati, wanita terbabit berada di dalam sebuah bilik bersama anak perempuannya yang berusia 12 tahun yang ketika itu sedang tidur.
"Pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat.
"Wanita berusia 42 tahun itu adalah ibu tunggal yang kematian suami sejak enam tahun lalu, manakala lelaki itu masih mempunyai isteri dan mempunyai enam anak.
"Mereka mendakwa berkenalan sejak enam tahun lalu melalui Facebook (FB)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar Sharifuddin berkata, lelaki itu berkerja sebagai pemandu lori dan berasal dari Baling, manakala wanita itu pula hanya memperoleh pendapatan melalui wang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) peninggalan arwah suaminya.
Beliau berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat," katanya.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|