Serdang: Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap tiga anggotanya yang dirakam dalam video tular melakukan sekatan jalan raya berhampiran persimpangan The Mines, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menyedari video berdurasi satu minit 19 saat itu yang memaparkan tiga anggota polis trafik menjalankan sekatan jalan raya antara 12.15 hingga 1.15 tengah hari.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau perlanggaran garis panduan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya.
Beliau menegaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang tidak akan berkompromi sekiranya ada pelanggaran prosedur dalam operasi berkenaan.
"Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Terdahulu, video yang memaparkan tiga anggota polis trafik melakukan sekatan jalan raya dan menahan kenderaan itu tular di media sosial.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|