Klang: Selepas lebih 20 tahun menjalani kehidupan sebagai transgender, seorang lelaki dikenali sebagai Zainal, 61, nekad kembali kepada fitrah.
Bagi Zainal, sudah terlalu lama dia hanyut dalam kehidupan itu meskipun menyedari tindakannya pasti mengecewakan ibu bapanya.
Menceritakan semula pengalamannya, Zainal yang juga anak keempat daripada tujuh beradik berkata, dia gemar memakai pakaian kakaknya semasa kecil.
"Ketika kecil, saya selalu dimarahi ibu kerana suka pakai baju kakak. Saya suka pakai baju perempuan kerana saya rasa baju itu cantik berbanding baju lelaki.
"Semasa di bangku sekolah menengah, saya hanya berkawan dengan perempuan kerana selesa dengan mereka kerana perwatakan saya lembut," katanya.
Menurutnya, dia mula berpakaian seperti wanita apabila memasuki alam pekerjaan memandangkan ketika itu tinggal berjauhan dari keluarga.
"Sebelum ini, saya pakai seluar jean ketat saja. Selepas itu, saya mula pakai gaun, bersolek dan simpan rambut panjang selain ambil pil hormon.
"Saya tidak perlu terlalu berusaha nampak seperti wanita memandangkan suara saya lembut dan tidak garau. Banyak kali saya disalah anggap sebagai wanita tulen," katanya.
Sepanjang menjadi transgender, pelbagai ejekan dan cemuhan pernah dilempar terhadapnya sehingga ada antaranya melukai hatinya.
"Pada satu malam, saya tiba-tiba berjalan tanpa hala tuju. Apabila balik ke rumah, setiap malam saya menangis dan berdoa dalam hati supaya saya dapat kembali ke pangkal jalan.
"Saya bersyukur ada rakan beritahu mengenai Pertubuhan Usrah Fitrah dan ajak saya menyertai program dianjurkan persatuan.
"Dari situ, saya belajar banyak perkara mengenai agama, mengaji, solat dan amal ibadah lain," katanya yang juga pesara swasta.
Zainal berkata, ibu yang juga individu paling rapat dengan dirinya adalah insan paling gembira apabila dia kembali ke pangkal jalan.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|