
SELEPAS hampir sebulan berehat kerana masalah jantung, pelakon Rahim Jailani memaklumkan keadaan kesihatannya kini semakin baik.
Rahim, 64, memberitahu dia sudah bersedia untuk kembali bekerja dan sedang menanti tawaran lakonan.
"Alhamdulillah, keadaan saya sekarang stabil dan sudah boleh aktif berlakon semula. Saya sedang menunggu mana-mana tawaran diberikan.
“Cuma, buat masa ini belum ada tawaran lagi. Kadang-kadang risau juga sebab mungkin mereka ingat saya masih sakit, tapi Alhamdulillah saya sudah semakin sihat sekarang,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Rahim mengakui masalah jantung yang dialaminya itu berikutan kelalaian dirinya dalam menjaga kesihatan.
Malah, ini merupakan serangan jantung kali kedua selepas dia melakukan prosedur stent beberapa tahun lalu.
“Apa yang berlaku kepada saya pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini sebab kelalaian sendiri. Saya tak kawal minum air kerana cuaca yang terlalu panas.
“Dari puasa Ramadan sehingga tiba hari raya, saya terlalu banyak minum air dan tidak mengawalnya. Jadi, secara tiba-tiba saya terus kena serangan (jantung).
"Ia adalah serangan jantung kali kedua yang saya kena selepas berbelas tahun dulu. Saya pun dah pernah buat 'stent' pada jantung sebelum ini, tapi tak sangka selepas sekian lama, kena serangan lagi," ujarnya.
Berkongsi rawatan diterima di Hospital Jelebu, Negeri Sembilan, Rahim berkata dia dimasukkan ke wad selama empat hari dan doktor memaklumkan air dalam tubuh terlalu banyak.
Dia bagaimanapun masih perlu menjalani rawatan susulan yang dijadualkan pada Jun depan.
"Ketika dimasukkan ke Hospital Jelebu Negeri Sembilan selama empat hari untuk rawatan lanjut, doktor berjaya keluarkan sebanyak 3.7 liter air dalam badan saya. Dah terlalu banyak (air).
"Apapun, saya akan ada pemeriksaan doktor pakar di Kuala Lumpur pada Jun depan. Tapi, sekiranya berlaku kecemasan dan sebagainya sebelum tarikh temujanji itu, saya boleh terus dibawa ke hospital," katanya.
Pada 7 April lalu, Rahim dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung semasa berada di kampungnya di Negeri Sembilan.
Menurut anaknya iaitu Muhamad Fadzlan Tasyriq, 25, bapanya terkena serangan jantung itu semasa sedang tidur.
Sumber : mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|